SHAH ALAM, 4 OKT: Halal Open Day yang julung kali dianjurkan menarik kehadiran lebih 800 pengunjung.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dato' Setia Salehuddin Saidin berkata penganjuran itu bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai kepentingan halal di samping meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pensijilan halal.
“Acara ini juga membuktikan keprihatinan serta komitmen pihak berkuasa agama dalam menyokong semua pihak berkaitan.
"Penganjuran Halal Open Day sempena dengan ulang tahun ke-10 penubuhan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan lebih bermakna tahun 2025 adalah tahun ke-60 perjalanan pensijilan halal di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Halal Open Day 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam yang turut dihadiri EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.
Program bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian antaranya Seminar Kesedaran Halal dan perkongsian pengalaman daripada usahawan berjaya.
Lebih 30 reruai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pameran agensi berkaitan turut dibuka bagi mempamer dan menjual produk halal mereka.
Dalam majlis sama, pengerusi Mais turut menyampaikan tauliah kepada 60 pegawai pengurusan halal manakala Dr Fahmi menyerahkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada tiga syarikat terpilih.