ad

Wakaf Selangor salur lebih RM57,000 bantu naik taraf masjid di Glenmarie

3 Okt 2025, 12:05 AM
Wakaf Selangor salur lebih RM57,000 bantu naik taraf masjid di Glenmarie

SHAH ALAM, 3 OKT: Masjid An-Nur Temasya Glenmarie menerima Tabung Wakaf Tunai berjumlah RM57,066 daripada Perbadanan Wakaf Selangor (Wakaf Selangor) baru-baru ini.

Menurut Wakaf Selangor, agihan itu adalah 50 peratus daripada hasil kutipan Tabung Wakaf Tunai yang ditempatkan di masjid berkenaan bagi tujuan baik pulih tandas dan menaik taraf dewan serbaguna.

Penyerahan cek cura disampaikan Pengurus Bahagian Korporat Wakaf Selangor Muhammad Hafiz Bahari dan diterima penolong pengurus masjid berkenaan.

“Selain penyerahan sumbangan, turut diadakan Kuliah Maghrib khas bagi menyebarluaskan kefahaman serta kesedaran mengenai hikmah dan fadhilat berwakaf.

“PWS juga membuka kaunter wakaf tunai bagi memberi peluang kepada jemaah melaksanakan ibadah wakaf,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tambah agensi itu, inisiatif itu diyakini memberi manfaat berterusan kepada jemaah selain menjadi pahala jariah berpanjangan kepada pewakaf.

Orang ramai yang ingin menyertai program wakaf tunai boleh berbuat demikian menerusi Wakaf Selangor Online sebagai saluran rasmi yang diyakini dan dipercayai.