ad

Sultan Selangor kurnia darjah kebesaran kepada Cik Afzaa Fadini, bawa gelaran Datin Paduka Seri

2 Okt 2025, 6:45 AM
Sultan Selangor kurnia darjah kebesaran kepada Cik Afzaa Fadini, bawa gelaran Datin Paduka Seri

KLANG, 2 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) kepada Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor berkata Baginda mengurniakan penganugerahan itu setelah beliau sempurna diijabkabulkan dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Pengurniaan darjah kebesaran itu membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

“Sehubungan itu, gelaran rasmi konsort (isteri) kepada Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz,” kata Dato' Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi, Raja Muda Selangor diijabkabulkan bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz di Masjid Istana Diraja Istana Alam Shah, Klang.

Tepat jam 10.05 pagi, 11 das tembakan meriam dilepaskan di Istana Alam Shah sebagai simbolik sempurnanya Istiadat Pernikahan Diraja.

Sebelum itu, Tengku Amir Shah berarak menaiki kereta Rolls Royce dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz sehingga ke Masjid Istana Diraja Istana Alam Shah sejauh 1.2 kilometer.

Ribuan hadir bagi menyaksikan perarakan Istiadat Pernikahan Diraja Raja Muda Selangor bermula di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Klang.

Suasana meriah dipenuhi orang ramai yang mengenakan pelbagai gaya dan warna sambil memegang bendera negeri Selangor untuk dilambaikan kepada pengantin putera diraja.