KLANG, 29 SEPT: Seramai 400 anggota polis dijangka bertugas memastikan keselamatan dan kelancaran perarakan Istiadat Pernikahan Diraja Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada Khamis ini.
Datuk Bandar Klang berkata pihaknya juga akan membantu pasukan polis mengkoordinasi kawalan bersama kerana dijangkakan lebih 2,000 rakyat menyaksikan perarakan istiadat pernikahan tersebut.
“Bagi aspek keselamatan, saya difahamkan seramai 400 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertugas pada jarak 50 meter antara satu sama lain.
“Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dan sedia menambah anggota sekiranya diperlukan,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain dalam sidang media persiapan Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa penutupan jalan sekitar laluan perarakan yang bermula hari ini dan 2 Oktober itu akan bermula jam 7 pagi, manakala perarakan dijangka bermula pada jam 9 pagi.
“Orang ramai juga dinasihati merancang perjalanan lebih awal memandangkan ruang parkir adalah terhad.
“Kemudahan parkir disediakan di Stadium Sultan Suleiman dan parkir bertingkat berhampiran Stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Klang.
"Orang ramai digalakkan berkongsi kenderaan atau menggunakan perkhidmatan tren KTM bagi mengelak kesesakan,” katanya.