SHAH ALAM, 2 OKT: Selangor mengecam tindakan rejim Zionis Israel menahan 12 aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penahanan itu bukan sahaja pengecut, malah jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.
“Tindakan jenayah bersifat pengecut oleh rejim Zionis Israel harus dikecam kerana ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Amirudin, Global Sumud Flotilla adalah gabungan usaha melibatkan 44 negara dengan penyertaan lebih 500 aktivis antarabangsa membawa misi kemanusiaan bagi menyalurkan bantuan makanan dan kesihatan kepada rakyat Gaza.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan semua rakyat Malaysia yang ditahan dibebaskan segera dan selamat.
“Tindakan Israel itu telah melampaui batas kerana misi tersebut digerakkan atas tujuan mulia untuk membantu mangsa genosid yang sedang dizalimi tanpa henti,” katanya.
Amirudin turut menyeru negara di seluruh dunia untuk bersatu menolak sebarang bentuk toleransi terhadap jenayah berterusan Israel, selain memulakan tekanan melalui sekatan antarabangsa yang komprehensif.
“Ini adalah masa untuk semua negara di seluruh dunia untuk bersama, menolak sebarang usaha untuk bertolak ansur dengan tindakan jenayah yang berterusan ini, dan memulakan sekatan antarabangsa yang komprehensif terhadap negara pengganas itu,” tegasnya.
.