Dipaksa melutut, digari, dipukul: Aktivis GSF 2.0 dedah kekejaman Israel

25 Mei 2026, 10:00 AM
Dipaksa melutut, digari, dipukul: Aktivis GSF 2.0 dedah kekejaman Israel
Dipaksa melutut, digari, dipukul: Aktivis GSF 2.0 dedah kekejaman Israel
Dipaksa melutut, digari, dipukul: Aktivis GSF 2.0 dedah kekejaman Israel
Dipaksa melutut, digari, dipukul: Aktivis GSF 2.0 dedah kekejaman Israel
Dipaksa melutut, digari, dipukul: Aktivis GSF 2.0 dedah kekejaman Israel

SEPANG, 25 MEI: Pengalaman ditahan dan disekat tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 membuka mata aktivis Malaysia terhadap penderitaan lebih besar yang dialami rakyat Palestin di Gaza.

Tiga aktivis yang ditemui berkata pengalaman berdepan tindakan rejim Zionis itu memberi keinsafan mendalam selain menguatkan tekad untuk terus memperjuangkan isu kemanusiaan Palestin di peringkat global.

Osman Zolkifli berkata beliau bersyukur dipilih menyertai misi berkenaan namun pengalaman dua kali dipintas dan ditahan tentera Israel memberi kesan besar kepadanya apabila berada dalam keadaan sejuk dan kekurangan makanan.

Menurutnya, situasi itu memberi peluang untuk memahami sedikit penderitaan yang dialami rakyat Palestin sejak sekian lama di bawah kekejaman rejim Zionis walaupun dalam skala jauh lebih kecil berbanding realiti sebenar.

Aktivis Global Sumud Flotilla 2.0, Osman Zolkifli berucap ketika Himpunan Solidariti Kepulangan Aktivis Sumud Flotilla 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Situasi tersebut memberi peluang kepada saya untuk merasai sedikit gambaran penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin sejak sekian lama di bawah kekejaman rejim Zionis meskipun dalam skala yang jauh lebih kecil berbanding realiti sebenar.

“Kami bukan hero atau wira, sebaliknya hanya pengantara untuk dunia melihat kekejaman Israel. Saya seru rakyat Malaysia untuk terus berkongsi kandungan berkaitan Palestin di media sosial serta meneruskan doa kemerdekaan Palestin,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Dr Jihan Alya Mohd Nordin yang bertugas sebagai pasukan perubatan berkata penyertaannya dalam misi itu bertujuan membawa suara Malaysia untuk ‘break the silence’ terhadap kekejaman yang berlaku.

Beliau berkata pengalaman menyaksikan sendiri tindakan ganas tentera Israel terhadap aktivis tidak bersenjata sangat memberi kesan, namun pada masa menegaskan penderitaan rakyat Palestin jauh lebih dahsyat.

Aktivis Global Sumud Flotilla 2.0, Dr Jihan Alya Mohd Nordin berucap ketika Himpunan Solidariti Kepulangan Aktivis Sumud Flotilla 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Sebagai manusia, kita ada tanggungjawab untuk sama-sama bergerak membantu dan membebaskan Palestin melalui pelbagai usaha kemanusiaan, kesedaran serta sokongan berterusan agar penderitaan yang ditanggung rakyatnya dapat dihentikan segera.

"Saya juga menghargai sokongan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Cinta Gaza Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), kerajaan dan rakyat yang terus bersolidariti,” ujarnya.

Sementara itu Patmanathan Sivasamy berkata beliau berlepas sejak 26 April lalu untuk menghantar bantuan ke Gaza dan menyertai misi itu dengan sokongan penuh ahli keluarga yang sentiasa memberi semangat sepanjang perjalanan.

Beliau berkata walaupun berdepan layanan kasar termasuk dipaksa melutut, digari serta dipukul ketika ditahan, semangatnya tidak luntur untuk meneruskan perjuangan pada masa akan datang.

Aktivis Global Sumud Flotilla 2.0, Patmanathan Sivasamy berucap ketika Himpunan Solidariti Kepulangan Aktivis Sumud Flotilla 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kami diperlakukan dengan sangat keras, namun saya tetap bertekad akan terus meneruskan misi yang sama pada masa akan datang sehingga Palestin benar-benar mencapai kebebasan dan penderitaan rakyatnya dapat dihentikan sepenuhnya.

“Saya hargai doa rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan kami sepanjang misi ini, yang menjadi kekuatan dan dorongan untuk kami terus berjuang serta kembali dengan selamat ke tanah air,” tambahnya.

Kepulangan 28 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam membuktikan bahawa dunia tidak akan berdiam diri terhadap kekejaman rejim Zionis.

Tekanan antarabangsa yang diterima oleh pihak Israel susulan tindakan pencerobohan dan penahanan tidak mengikut undang-undang turut menyebabkan rejim tersebut menggugurkan rancangan awal untuk menahan aktivis berkenaan dalam tempoh panjang di Penjara Ketziot.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.