ad

Polis sahkan kematian murid tahun empat sebuah sekolah di Seremban

1 Okt 2025, 3:25 PM
Polis sahkan kematian murid tahun empat sebuah sekolah di Seremban

SEREMBAN, 1 OKT: Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kematian seorang murid lelaki tahun empat di sebuah sekolah, di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kematian murid berusia 10 tahun itu.

“Saya mengesahkan kejadian tersebut, bagaimanapun siasatan lanjut masih lagi dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sepenuhnya dengan telus.

Beliau berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dari segi menjaga emosi keluarga ketika ini dan juga mengelakkan sebarang spekulasi tidak benar sementara menunggu siasatan penuh pihak polis.

“Kementerian Pendidikan (KPM) mengucapkan takziah dan rasa sedih atas kejadian yang berlaku. KPM memberikan sepenuh sokongan kepada keluarga ketika ini dari segi sudut emosi dan psikososial.

“Kita mohon, waktu ini beri ruang kerana perkara ini sangat menyedihkan dan berharap siasatan dapat berlangsung dengan segera dan telus, dan KPM akan memberikan sepenuh komitmen dalam siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fadhlina berkata KPM akan memberikan tumpuan penuh kepada proses psikososial dan sokongan emosi kepada para pelajar dan guru-guru di sekolah tersebut.

Beliau berkata mulai esok, intervensi ini akan dilaksanakan secara bersepadu oleh kaunselor bagi menjalankan intervensi psikososial di sekolah dan guru.

Beliau berkata pihaknya juga mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan dengan memberikan tumpuan kepada intervensi ini yang akan dilaksanakan secara berterusan.