PUTRAJAYA, 1 OKT: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan mula menjalani hukuman penjara selama lapan tahun hari ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya enam tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan keputusan sebulat suara, menolak rayuan akhir Yong terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya.
“Sabitan adalah sah dan keputusan majoriti di Mahkamah Rayuan adalah wajar,” kata Wan Ahmad Farid yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Yong, 55, akan terus dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman serta-merta.
Beliau mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi atas kesalahan merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun dari Indonesia.
Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong, namun, Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas mengurangkan hukuman terbabit kepada lapan tahun tetapi mengekalkan dua sebatan itu.
Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata perayu (Yong) telah mencabar Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah atas alasan beliau dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil kerana mangsa (saksi pendakwaan ke-15) memberikan keterangan dalam sesi tertutup tanpa dilihat oleh tertuduh atau peguam bela.
Mangsa yang merupakan saksi utama telah memberikan keterangan di bawah Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Farid berkata tidak berlaku sebarang ketidakadilan terhadap Yong dan kes pendakwaan juga tidak terjejas memandangkan mangsa adalah seorang saksi yang dilindungi.
Beliau berkata Mahkamah Persekutuan turut berpuas hati bahawa mangsa adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya telah diterima oleh mahkamah.
“'Hakim yang mengendalikan perbicaraan adalah pihak yang paling sesuai menilai tingkah laku saksi semasa memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi,” katanya.