SHAH ALAM, 1 OKT: Kerja menaik taraf dua venue utama SUKMA 2026 iaitu Pusat Akuatik Darul Ehsan dan Lapang Sasar Menembak di Subang berjalan mengikut jadual ditetapkan.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata kedua-dua venue disasar siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan sekali gus menjanjikan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa untuk atlet bertanding.
“Selain dua tempat ini, pelbagai fasiliti lain juga kini giat dinaik taraf. Di peringkat pihak berkuasa tempatan pun sama, tengah buat kerja tersebut dan dijangka siap ikut jadual ditetapkan,” katanya.
Ditemui pada Konvensyen Belia Selangor semalam, Mohd Najwan memaklumkan Selangor akan menyertai semua 474 acara sukan yang dipertanding pada SUKMA 2026.
“Semua kategori acara sukan kita akan hantar atlet untuk bertanding,” katanya.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.
Sebanyak sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.