ad

MB zahir tahniah kepada RMS sempena perkahwinan, hargai agensi jayakan persiapan

30 Sep 2025, 6:40 AM
MB zahir tahniah kepada RMS sempena perkahwinan, hargai agensi jayakan persiapan
MB zahir tahniah kepada RMS sempena perkahwinan, hargai agensi jayakan persiapan
MB zahir tahniah kepada RMS sempena perkahwinan, hargai agensi jayakan persiapan

KLANG, 30 SEPT: Dato’ Menteri Besar merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sempena perkahwinan baginda pada Khamis ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap ikatan perkahwinan Baginda dengan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz membawa kebahagiaan berkekalan serta mengukuhkan lagi institusi Diraja Selangor.

“Bagi rakyat Selangor, ini satu khabar yang amat menggembirakan. Semoga baginda dikurniakan kehidupan berkeluarga yang bahagia serta terus menabur bakti memimpin negeri sebagai Raja Muda,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP) di sini, hari ini.

Amirudin turut merakam penghargaan kepada Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK), Polis Diraja Malaysia dan semua agensi yang terlibat dalam memastikan kelancaran persiapan menjelang istiadat diraja itu.

“Dari segi keselamatan, persiapan sudah dilaksanakan sebaik mungkin. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak polis, MBDK dan agensi lain yang menjayakannya. Latihan perarakan juga dibuat semalam dan kita jangka majlis berlangsung lancar,” katanya.

Latihan perarakan sejauh kira-kira 650 meter itu bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz menuju ke Istana Alam Shah, diiringi Rejimen Askar Melayu Diraja Ke-25 sebagai pengiring diraja bersama paluan kompang Istana Diraja Selangor.

MBDK pula giat melaksanakan kerja-kerja keceriaan sekitar istana termasuk menaik taraf jalan, landskap serta pemasangan lampu hiasan di laluan utama bagi menyambut perarakan diraja.

Majlis santapan dan resepsi perkahwinan Tengku Amir Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz akan berlangsung di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober.