KLANG, 2 OKT: Istiadat Persandingan Diraja Selangor di Istana Alam Shah bukan sahaja menjadi detik bersejarah buat negeri ini malah turut mengukir rasa bangga dalam kalangan rakyat yang menyaksikan kemeriahannya.
Penduduk tempatan, Sumana Siri M.H. Siripala, 68, berkata beliau gembira kerana dapat menyaksikan sendiri keindahan persiapan dan kemeriahan acara diraja yang jarang dapat dilihat secara dekat.

“Saya bangga kerana dapat lihat majlis perkahwinan diraja yang berlangsung dekat dengan rumah. Hiasan yang dibuat sangat cantik dan jadi tarikan pelancong yang datang ke Klang. Ini juga satu peluang untuk rakyat berbilang kaum raikan bersama dan pupuk keharmonian,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.
Bagi anak jati Klang, Muhammad Norhaslam Karudzaman, 32, pengumuman istiadat persandingan menjadi saat yang dinantikan rakyat Selangor.

“Saya sangat teruja dengan pengumuman istana. Hiasan sepanjang laluan turut mencuri tumpuan. Ia bukan sahaja memperlihatkan keindahan budaya tempatan malah mengukuhkan semangat perpaduan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Lim E Siang, 24, menyifatkan perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai acara yang mengangkat nama Klang sebagai bandar penuh warisan dan tradisi.
“Pengalaman ini sangat istimewa kerana bukan mudah dapat menyaksikan perkahwinan diraja secara dekat. Saya bangga majlis bersejarah ini berlangsung di Klang,” katanya penuh teruja.
