KLANG, 29 SEPT: Kerja pengindahan dan penyenggaraan sekitar bandar raya Klang sempena Istiadat Pernikahan Diraja Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, siap sepenuhnya.
Datuk Bandar Klang berkata ia termasuk pemasangan bendera negeri Selangor bermula dari Lebuhraya Persekutuan sehingga Istana Alam Shah, hiasan lampu jalan dan landskap khas.
”Lebih RM3 juta diperuntukkan bagi persiapan ini termasuk menaik taraf laluan, penambahbaikan landskap dan hiasan bandar yang dijadikan penanda aras untuk menceriakan kawasan lain sebagai inisiatif jangka panjang.
“Kita juga akan melakukan pemantauan bagi mengelakkan orang ramai memetik bunga atau melakukan vandalisme. Saya memohon semua untuk bersama-sama memastikan kawasan bandar raya ini sentiasa bersih dan kemas,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain dalam sidang media persiapan Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor di sini, hari ini.
Abd Hamid berkata pihaknya menjangkakan kehadiran lebih 2,000 pengunjung yang mahu menyaksikan hari istimewa itu, dan menasihatkan orang ramai untuk hadir awal serta menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan bagi mengelakkan kesesakan.
Beliau berkata hanya laluan dari Galeri Diraja menuju ke Istana Alam Shah di sini, akan ditutup seawal 7 pagi 2 Okt untuk memberi laluan kepada istiadat perarakan yang dijangka bermula 9 pagi.
”Orang ramai boleh meletakkan kenderaan di stesen komuter Klang dan Stadium Sultan Sulaiman. MBDK juga akan mengagihkan 2,000 unit bendera Selangor kepada pengunjung terawal untuk dilambaikan kepada Raja Muda Selangor,” katanya.
Raja Muda Selangor akan melangsungkan pernikahan dengan pasangan baginda, Cik Afzaa Fadini di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, Khamis ini.
Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja, Raja Muda Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober ini.