GUANGZHOU, 30 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh komitmen dalam memperkasa penyertaan wanita dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama rakan strategik di China.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Sharis menyaksikan pemeteraian MoU antara Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), APR Electronic Services Sdn Bhd dan Guangdong Cross-border Product Trade Association (GCCTA) di Guangdong Women’s Polytechnic College, Shunde, Guangdong, semalam.
“Kerjasama ini menetapkan satu mercu penting bagi usaha memartabatkan Selangor sebagai hab pembelajaran serantau dalam bidang teknologi digital dan e-dagang yang berdaya saing,” katanya.
Menurut Amirudin, STDC akan terus berperanan sebagai pemangkin dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor strategik melalui pelaksanaan program TVET.
Tambah beliau, kerjasama dengan GCCTA membuka akses kepada rangkaian industri utama seperti Midea COLMO, China Unicom dan YTO Express bagi memastikan pelatih mendapat pendedahan praktikal dan peluang kerjaya bernilai tinggi dalam sektor digital.
“Fokus utama Kerajaan Negeri dalam misi kali ini adalah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam TVET secara signifikan melalui pelancaran inisiatif Women in TVET bersama Guangdong Women’s Polytechnic College,” jelasnya.
Program Women in TVET dijangka menjadi platform penting bagi membina kemahiran dan membuka peluang kepada lebih ramai wanita menyertai bidang teknikal, digital serta e-dagang.
Kerjasama ini juga dilihat mampu memperkasakan daya saing wanita dalam bidang vokasional yang selama ini didominasi lelaki, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Amirudin juga yakin dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, institusi pendidikan dan rangkaian industri, Selangor mampu menjadi hab bakat digital serantau yang inklusif, berdaya saing dan makmur.
Lawatan dan MoU ini adalah aktiviti terakhir delegasi Selangor yang diketuai Amirudin dalam lawatan kerja rasmi selama Sembilan hari yang berakhir semalam.