NILAI, 28 SEPT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci berhubung tragedi seorang murid yang terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata laporan lengkap hasil siasatan itu akan dikemukakan segera bagi tindakan lanjut, serta memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Beliau berkata KPM kini sedang melaksanakan audit keselamatan sekolah melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah, dan pada masa sama perkara itu sememangnya berada dalam perhatian serta pemantauan jawatankuasa tersebut.
“KPM merakamkan takziah kepada keluarga mangsa, ini satu tragedi yang amat memberikan kesan kepada kita semua, khususnya menyentuh mengenai keselamatan anak-anak kita di sekolah,” katanya kepada pemberita di Kampung Masjid, Lenggeng di sini.
Terdahulu Fadhlina serta Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Datuk Amzan Abd Malek, Pengarah JPNS Khalidah Omar serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Sembilan, menziarahi keluarga Allahyarham Abdul Fatah Khairol Rizal di kampung tersebut.
Sementara itu, Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Muhammad Arsyad Jahaya, 35, yang telah menyelam ke dalam saluran kumbahan di sekolah tersebut, bagi mengeluarkan Abdul Fatah.
Media sebelum ini melaporkan mangsa Abdul Fatah Khairol Rizal, murid tahun tiga, meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan, pagi semalam.
Susulan itu, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan semalam turut mengingatkan semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri, agar memastikan fasiliti sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim hari ini dilaporkan berkata setakat ini lapan saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Sementara itu, Norfazila Md Lajin, 43, ibu kepada Allahyarham Abdul Fatah menghargai keprihatinan warga KPM dan orang ramai yang memberi sokongan moral kepada keluarganya.
“Menteri (Fadhlina) beritahu saya, pihaknya telah meminta pengarah pendidikan menguruskan aspek insurans dan menyiasat perkara ini secara menyeluruh,” katanya.
Norfazila yang kelihatan sugul dan amat merindui anak kesayangnya itu juga berharap perkara ini diambil tindakan segera oleh semua pihak berwajib, agar kejadian tersebut tidak berulang lagi.