Anwar seru ibu bapa pantau anak, jangan serah sepenuhnya kepada kerajaan, sekolah

30 Okt 2026, 8:30 AM
Anwar seru ibu bapa pantau anak, jangan serah sepenuhnya kepada kerajaan, sekolah

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ibu bapa supaya lebih bertanggungjawab memantau perkembangan dan pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam gejala negatif, termasuk penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan atau pihak sekolah, sebaliknya memerlukan perhatian dan kerjasama berterusan ibu bapa serta keluarga.

Anwar berkata ibu bapa perlu mengambil tahu kegiatan harian anak-anak termasuk pelajaran, kerja sekolah, waktu pulang ke rumah serta pergaulan yang boleh mendedahkan mereka kepada pengaruh negatif.

"Kadang-kadang ada ibu bapa yang tidak tahu anak mereka membaca buku atau tidak, balik malam atau tidak, melakukan kerja sekolah atau tidak, malah mula menghampiri dadah atau tidak.

"Selain daripada saya dengar seruan supaya kerajaan lakukan sesuatu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru ibu bapa supaya mengambil tanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di sini hari ini..

Sementara itu, Perdana Menteri berkata isu kesihatan mental dan autisme antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang antara lain memerlukan usaha bersama bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata kerjasama ibu bapa dan keluarga amat penting dalam menangani pelbagai cabaran berkaitan perkembangan serta masa depan anak-anak.

Terdahulu, ketibaan Anwar pada 12.50 tengah hari disambut Imam Masjid Al-Muqarrabin, Ahmad Ammar Muzakir Ahmad Hadiri, pengurusan masjid serta jemaah.

Perdana Menteri kemudian menunaikan solat sunat dan mendengar khutbah bertajuk “Bersama Allah, Indahnya Hidup Ini”.

Selesai solat, Anwar meluangkan masa bersalaman dan menyantuni jemaah termasuk murid sekolah.

Ditanya pesanan beliau kepada murid berkenaan, Anwar berkata pertemuannya dengan anak-anak itu menyentuh perasaannya apabila melihat mereka membesar dengan sikap baik dan penuh kasih sayang.

Beliau berkata golongan muda sering diingatkan supaya menjaga ibadah, belajar dan mengulang kaji pelajaran setiap malam, selain menghormati ibu bapa serta guru.

Anwar bagaimanapun menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan anak-anak sekiranya ibu bapa membiarkan mereka menjalani kehidupan mengikut keadaan dan pengaruh persekitaran tanpa pemantauan serta didikan sewajarnya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.