ad

Pemandu lori terlibat kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang direman

28 Sep 2025, 5:48 AM
Pemandu lori terlibat kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang direman

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang semalam, direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan lima individu termasuk pemilik syarikat lori yang terlibat dalam kejadian terbabit.

"Siasatan (awal) mendapati lori berkenaan kali terakhir diselenggara pada April lepas. Pemandu lori itu juga mendakwa melompat keluar dari lori kerana berdepan dengan masalah brek.

“Namun, siasatan masih diteruskan bagi memastikan sama ada benar kenderaan tersebut mengalami masalah brek. Lori itu akan dihantar untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan, kemalangan yang berlaku 10.50 pagi itu melibatkan sebuah lori, sebuah kereta, dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun dan mencederakan tujuh individu lain.

Sementara itu, Naazron berkata ketika kejadian, bayi yang meninggal dunia itu berada di dalam sebuah kereta bersama dengan ibu, nenek dan kembarnya.

“Semua ahli keluarga bayi itu telah dibenarkan keluar Hospital Serdang selepas menerima rawatan manakala mangsa lain yang menaiki dua kenderaan utiliti sukan masih menerima rawatan di Hospital Kajang dan sebuah hospital swasta di Kajang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.