Selangor buka 54 kertas siasatan iklan, jualan vape dalam talian

9 Jun 2026, 3:00 AM
Selangor buka 54 kertas siasatan iklan, jualan vape dalam talian
Selangor buka 54 kertas siasatan iklan, jualan vape dalam talian

SHAH ALAM, 9 JUN: Sebanyak 54 kertas siasatan dibuka Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melibatkan penjualan, pengiklanan dan promosi produk rokok elektronik (vape) secara dalam talian sejak Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) berkuat kuasa.

Kes-kes tersebut melibatkan kesalahan bawah Seksyen 7, 8, 9, 10 dan 11 akta berkenaan yang melarang pengiklanan, promosi, penajaan serta penjualan produk merokok dan produk tiruan merokok.

"Tindakan penguatkuasaan dijalankan sama ada secara fizikal mahupun dalam talian susulan kebimbangan iklan dan promosi vape masih mudah diakses melalui media sosial serta platform e-dagang walaupun pelbagai usaha dilaksanakan.

"Aktiviti pemantauan dijalankan secara berterusan dan tindakan undang-undang diambil mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan kepada Media Selangor.

Akta 852 dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024, manakala pelaksanaan penuh bermula 1 Oktober 2025.

JKNS mengakui penguatkuasaan dalam talian masih menjadi cabaran berikutan modus operandi platform e-dagang yang sentiasa berubah seiring perkembangan era digital.

"Isu (pengiklanan vape secara dalam talian) ini tidak dipandang ringan, sebaliknya dianggap sebagai cabaran kepada pegawai penguat kuasa yang perlu sentiasa mengikuti perubahan taktik penjualan dan pemasaran dalam talian," katanya.

Jabatan itu mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 3 Jun lalu oleh 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 30 persatuan profesional kesihatan yang mempersoalkan sama ada angka penguatkuasaan besar yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) benar-benar mencerminkan tindakan terhadap pengiklanan dan penjualan vape secara dalam talian.

Sehari sebelum itu, KKM memaklumkan sebanyak 34,903 aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara bawah Akta 852 sehingga 30 April lalu, melibatkan pemeriksaan terhadap 683,704 premis, pengeluaran 233,831 notis kompaun serta pembukaan 4,226 kertas siasatan bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun.

KKM turut memaklumkan sebanyak 2,585 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan melibatkan pengiklanan, promosi dan penjualan produk merokok secara dalam talian di bawah Akta 852. Tindakan juga diambil terhadap beberapa laman sesawang menerusi permohonan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagaimanapun, kementerian itu tidak memperincikan jumlah kes yang secara khusus melibatkan produk vape.

Di Selangor, sebanyak 3,519 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negeri sehingga April lalu di bawah Akta 852, melibatkan pemeriksaan terhadap 51,652 premis.

JKNS berkata operasi tersebut membawa kepada pengeluaran 32,469 kompaun bagi kesalahan yang boleh dikompaun, termasuk 25,574 kompaun kerana merokok di kawasan larangan merokok. Selain itu, sebanyak 578 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun.

"Sebanyak 2,612 kes kini dalam proses pendakwaan, manakala 112 kes telah selesai di mahkamah dengan jumlah denda mencecah RM381,050," katanya.

Selain aktiviti penguatkuasaan, JKNS turut melaksanakan 41,397 program advokasi bagi meningkatkan kesedaran awam dan pematuhan terhadap Akta 852.

Bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan, JKNS menekankan kepentingan kerjasama pelbagai agensi khususnya MCMC serta penyedia platform e-dagang.

Jabatan itu turut menggesa orang ramai membantu usaha penguatkuasaan dengan menyalurkan aduan berkaitan pelanggaran undang-undang melalui talian WhatsApp Aduan Merokok di nombor 010-8608949.

"Individu yang menerima atau mempunyai maklumat mengenai pelanggaran Akta 852 disaran membuat aduan rasmi supaya tindakan tegas dapat diambil dengan segera terhadap pihak yang melanggar undang-undang," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.