PGA gagalkan cubaan seludup 2,560 pod vape ke Thailand

15 Jun 2026, 12:30 AM
PGA gagalkan cubaan seludup 2,560 pod vape ke Thailand

KOTA BHARU, 15 JUN: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 2,560 unit pod vape dipercayai untuk pasaran Thailand menerusi satu pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata susulan itu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan bersama sebuah van Toyota Hiace yang membawa muatan pod vape pelbagai perisa tersebut dan keseluruhan nilai rampasan kira-kira RM316,000 termasuk kenderaan.

Beliau berkata tangkapan dibuat pada 12.15 tengah hari oleh sepasukan anggota Kompeni A Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa yang menjalankan tugas Ops Taring Wawasan Kelantan di SJR berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah van Toyota Hiace berwarna putih yang dipandu suspek menemukan sejumlah kotak mengandungi pod vape pelbagai perisa yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran. Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan atau penghantaran barangan itu.

“Rampasan melibatkan 320 unit pod vape bagi setiap lapan perisa iaitu All Berry, Pink Berry, Watermelon Mint, Cola, Blue Ice, Matcha Latte, Kyoho Grape dan Watermelon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan pod vape itu dari sekitar Tanah Merah sebelum merancang menghantarnya ke Thailand melalui sebuah pangkalan haram di Kampung Rahmat, Rantau Panjang.

“Penyeludupan pod vape ke Thailand dipercayai didorong oleh larangan ketat negara itu terhadap aktiviti mengedar, menjual, menyimpan, memiliki dan menggunakan produk vape,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Ahmad Radzi berkata PGA akan terus memperketat pemantauan di kawasan sempadan bagi memastikan sebarang aktiviti penyeludupan dapat dibanteras dan tidak berlaku pembolosan di sepanjang sempadan negara.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.