ad

Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau

28 Sep 2025, 12:26 AM
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau
Selangor meterai MoU bersama ChinaFix, lonjak teknologi TVET serantau

SHENZHEN, 28 SEPT: Selangor melakar satu lagi pencapaian penting dalam misi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat penyelenggaraan digital global, ChinaFix.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan antara Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), APR Electronic Sdn. Bhd. dan ChinaFix (Shenzhen Xinxunwei Technology Co., Ltd.), sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik merangkumi pemindahan teknologi, pembaikan elektronik, latihan teknikal serta pembangunan modal insan.

Perjanjian ini turut menjadikan STDC sebagai pusat pemindahan teknologi dan fasiliti utama di Malaysia dengan matlamat memperkasa kedudukan Selangor sebagai hab TVET serantau, khususnya untuk pasaran Asia Tenggara seperti Thailand, Kemboja, Indonesia dan Myanmar.

Kerjasama ini dijangka melonjak potensi pelaburan serta memperluas akses kepada teknologi canggih dalam bidang pembaikan elektronik dan digital.

Majlis tersebut merupakan kemuncak lawatan kerja delegasi Selangor ke Ibu Pejabat ChinaFix di Shenzhen, iaitu syarikat peneraju dunia dalam penyelenggaraan peranti digital dan elektronik.

Delegasi turut meninjau fasiliti teknologi terkini milik syarikat itu, termasuk kemudahan pembaikan kenderaan elektrik (EV) dan Printed Circuit Board (PCB) yang digunakan secara meluas dalam industri moden.

Sejak ditubuhkan pada 2007, ChinaFix telah melatih lebih 50,000 pelajar di seluruh dunia melalui program latihan teknikal berskala besar yang memfokuskan kepada TVET dan pembangunan tenaga kerja mahir.

Malah, syarikat itu turut menghasilkan pelbagai manual teknikal dan buku rujukan yang diiktiraf secara global dalam bidang pembaikan elektronik dan latihan kemahiran.

Langkah strategik ini diyakini bakal mengukuhkan ekosistem TVET di Selangor, membuka ruang pembangunan bakat kejuruteraan tempatan dan mempercepat aspirasi negeri ke arah menjadi hab pelaburan teknologi unggul di rantau Asia.

Delegasi Selangor dalam misi perdagangan dan pelaburan ke China yang dijadualkan berlaku sehingga 30 September. Ia disertai Dato'Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari, EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop dan Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.

Turut bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.