ad

MAIS: Lebih 1,000 individu peluk Islam di Selangor setakat Ogos

27 Sep 2025, 9:40 AM
MAIS: Lebih 1,000 individu peluk Islam di Selangor setakat Ogos
MAIS: Lebih 1,000 individu peluk Islam di Selangor setakat Ogos

SHAH ALAM, 27 SEPT: Seramai 1,053 individu memilih untuk memeluk Islam di Selangor dari Januari hingga Ogos tahun ini, menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Bagi memperkasa urusan dan kebajikan saudara baharu, MAIS memperuntukkan RM1.5 juta meliputi pelaksanaan mengikut perundangan, program outreach komuniti, insentif mualaf serta sokongan kepada badan kebajikan Islam.

“Semua inisiatif dilaksana secara bersepadu bagi memastikan pembangunan akidah, sahsiah dan integrasi muallaf berjalan secara mampan serta inklusif,” kata MAIS dalam kenyataan.

Bagi memudahkan urusan, MAIS kini mengendalikan 42 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) berbanding 39 sebelum ini, yang berperanan memberi khidmat nasihat kepada individu yang ingin memeluk Islam secara sukarela.

PPP terdiri daripada Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK, Pejabat Agama Islam Daerah, pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) serta masjid yang mendapat kebenaran MAIS.

Antara PPP terlibat termasuk PERKIM Selangor, Hidayah Centre Foundation Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Shah Alam) dan Masjid Al-Falah USJ 9 (Subang Jaya).

Selain mengurus pengislaman, PPP juga bekerjasama dengan MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam aspek penjagaan, perlindungan serta pendidikan muallaf.

“Masyarakat digalak membantu dengan membawa individu berminat memeluk Islam ke PPP berhampiran bersama dokumen berkaitan bagi melancarkan proses pendaftaran,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, MAIS menganjurkan Kempen Bulan Muallaf dan Program Pemurnian Pengislaman serta Dakwah Orang Asli yang dirasmikan Timbalan Pengerusinya Tan Sri Mazlan Mansor.

Pada majlis sama, MAIS turut menyerahkan 67 kotak barangan asas bernilai RM14,874 manakala Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyumbang 114 kotak barangan kering bernilai RM11,400 kepada penduduk setempat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.