SHAH ALAM, 17 JUN: Di sebalik tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, masyarakat perlu menilai semula keutamaan hidup dan tidak menjadikan kemewahan sebagai ukuran kejayaan, kata pendakwah bebas Muhammad Roger James Arnold.
Beliau berkata peningkatan kos sara hidup menuntut masyarakat mengurus kewangan dengan lebih berhemah serta membezakan antara keperluan dan kehendak.
Jelasnya, masyarakat kini terlalu fokus mengejar kemewahan dan keselesaan hidup sehingga mengabaikan aspek keberkatan serta keseimbangan dalam kehidupan.
“Hari ini ramai mahu mengubah kehidupan dari sudut dunia. Ada yang mahu kereta lebih besar, rumah lebih besar dan kehidupan lebih selesa.
“Tidak salah untuk memiliki semua itu, tetapi perkara pertama yang perlu kita lihat ialah perubahan dari segi agama dan bagaimana kita membawa keluarga ke arah agama,” katanya menerusi program Bicara Semasa bertajuk ‘Hijrah gaya hidup: Antara keperluan dan kehendak’ terbitan Media Selangor.

Roger, 51, yang juga Pengerusi Persatuan Inspirasi Mualaf berkata tekanan hidup yang dihadapi ramai ketika ini bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan pendapatan sebaliknya kegagalan mengurus kehidupan secara lebih seimbang.
Katanya, masyarakat perlu membudayakan perancangan kewangan yang baik, berbelanja mengikut kemampuan serta mengelakkan sikap menjadikan pencapaian material sebagai satu-satunya ukuran kejayaan.
Jelasnya kesibukan mencari rezeki perlulah seimbang dengan perkara asas tuntutan agama.
“Kita berkejar-kejar untuk sampai ke tempat kerja, tetapi kadangkala kita lupa untuk bersolat dan bersyukur kepada Allah SWT.
“Hakikatnya, ramai antara kita percaya kepada Allah, tetapi belum sampai ke tahap yakin bahawa Allah ialah pemberi rezeki,” katanya.
Menurut Roger, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui peningkatan pendapatan atau harta yang dimiliki, tetapi turut merangkumi ketenangan hidup, kesejahteraan keluarga dan keberkatan dalam rezeki yang diperoleh.
Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat mengambil peluang untuk bermuhasabah dan menilai semula hala tuju kehidupan agar tidak terlalu terikat dengan tuntutan dunia.
“Mengapa tidak kita letakkan Allah sebagai keutamaan dan berusaha dengan lebih bijak? Percayalah, bukan sahaja rezeki akan dipermudahkan, malah hati juga akan menjadi lebih tenang,” ujarnya.







