Ujian muflis selepas peluk Islam ubah pandangan hidup Roger James

17 Jun 2026, 8:00 AM
Ujian muflis selepas peluk Islam ubah pandangan hidup Roger James

SHAH ALAM, 17 JUN: Pernah diisytiharkan muflis dengan hutang hampir RM385,000 selepas memeluk Islam, pendakwah bebas Muhammad Roger James Arnold mengakui pengalaman itu menjadi antara detik paling sukar dalam hidupnya.

Namun di sebalik ujian tersebut, beliau menemukan hikmah yang mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan, rezeki dan makna sebenar kejayaan.

Roger, 51, turut menceritakan beliau pernah berdepan masalah kewangan yang serius sehingga kehilangan banyak perkara dalam hidup, termasuk kestabilan yang pernah dinikmati sebelum itu.

“Saya pernah diisytiharkan bankrap dengan hutang hampir RM385,000. Dalam tempoh itu saya kehilangan banyak perkara dalam hidup.

 “Saya pernah berada dalam keadaan tiada wang, tiada rumah dan berdepan pelbagai tekanan hidup. Dalam keadaan itu, satu-satunya tempat saya bergantung ialah Allah SWT,” menerusi program Bicara Semasa  bertajuk ‘Hijrah gaya hidup: Antara keperluan dan kehendak’ terbitan Media Selangor.

Pengerusi Persatuan Inspirasi Mualaf itu berkata pengalaman berkenaan mengajarnya bahawa perubahan hidup tidak semestinya berlaku secara mendadak, sebaliknya bermula dengan kesedaran untuk memperbaiki diri.

“Untuk menjadi insan yang lebih baik bukan sesuatu yang mudah, tetapi perubahan itu mesti bermula dengan niat.

“Jika Allah SWT mengizinkan kita menyedari bahawa ada sesuatu yang perlu diperbaiki dalam kehidupan, itu sendiri adalah satu nikmat yang besar,” katanya.

Mengulas kedatangan Awal Muharam, Roger berkata sambutan tahun baharu Islam itu wajar dijadikan medan muhasabah untuk menilai semula hala tuju kehidupan serta hubungan seseorang dengan Allah SWT.

Katanya, perubahan tidak perlu menunggu sehingga seseorang ditimpa musibah atau kehilangan sesuatu yang berharga, sebaliknya boleh dimulakan melalui langkah kecil seperti berdoa dan memohon petunjuk daripada-Nya.

Beliau berkata penghijrahan yang sebenar bukan hanya melibatkan perubahan luaran, tetapi perubahan hati yang mampu menjadikan seseorang lebih tenang, bersyukur dan istiqamah dalam menjalani kehidupan.

“Apa yang kita miliki hari ini bukan milik kita yang sebenar, sedarlah semuanya adalah pinjaman daripada Allah SWT.

“Apabila kita meletakkan pergantungan kepada-Nya, kita akan melihat kehidupan dengan cara yang berbeza,” katanya.

 

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.