KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Pemain warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado akan mengemukakan rayuan terhadap penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan ke atasnya oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kelab pemain tersebut, America de Cali dari Colombia dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa Holgado dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan rayuan seperti yang diperuntukkan di bawah Kod Tatatertib FIFA, dengan tujuan menyemak semula hukuman tersebut oleh pihak berkuasa yang berwibawa.
Menurut kenyataan itu kelab bekenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan FIFA, yang menggantung Holgadi daripada semua aktiviti berkaitan boleh sepak
“Jabatan Perundangan America de Cali akan terus berhubung rapat dengan FAM bagi mengikuti perkembangan proses itu,” menurut kenyataan itu.
Dalam satu kenyataan semalam, FIFA memaklumkan jawatankuasa tatatertib badan induk itu menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain yang dikenakan tindakan adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit, membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Selepas perlawanan itu, FIFA menerima aduan rasmi berkaitan status kelayakan beberapa pemain.
Susulan aduan rasmi berkenaan, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notifikasi keputusan tersebut.
FAM dalam kenyataan mengesahkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman itu sebagai usaha menjaga kepentingan pemain dan pasukan kebangsaan.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.
- BERNAMA