Ultras Malaya umum boikot semua aksi Harimau Malaya serta-merta

1 Mei 2026, 8:33 AM
Ultras Malaya umum boikot semua aksi Harimau Malaya serta-merta

SHAH ALAM, 1 MEI: Kumpulan penyokong bola sepak negara, Ultras Malaya melaksanakan boikot fasa pertama terhadap semua perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kumpulan itu, keputusan tersebut sebagai tindakan susulan terhadap tiga tuntutan yang dikemukakan kepada umum pada 13 April lalu.

Tiga tuntutan tersebut merangkumi penarikan semula kerakyatan tujuh pemain yang didakwa terlibat dalam isu pemalsuan dokumen, pemulangan pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta pelaksanaan reformasi menyeluruh dalam bola sepak negara.

Ultras Malaya turut menetapkan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 untuk ketiga-tiga tuntutan berkenaan dipenuhi oleh pihak berkaitan.

“Kami memberikan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 untuk ketiga-tiga tuntutan tersebut dipenuhi dan dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkaitan.

"Ini demi memastikan bola sepak Malaysia benar-benar merdeka daripada kepentingan sempit, kegagalan tatakelola dan kerosakan sistem yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, kumpulan itu memberi amaran akan melaksanakan boikot fasa kedua yang lebih meluas.

Dalam pada itu, Ultras Malaya menegaskan pendirian mereka untuk mempertahankan integriti bola sepak negara daripada sebarang kepentingan peribadi.

“Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penggunaan bola sepak sebagai alat untuk memenuhi nafsu, pengaruh dan kepentingan peribadi mana-mana pihak atau individu,” katanya.

Tambah mereka, tindakan boikot tersebut bukan didorong oleh kebencian, sebaliknya demi masa depan bola sepak negara.

Untuk rekod, FAM sebelum ini dikenakan denda CHF 350,000 (RM1.8 juta) oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kes pemalsuan dokumen tujuh pemain dan pemain terbabit pula denda CHF 2,000 (RM10,650) serta digantung 12 bulan.

Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.