Oleh Danial Dzulkifly
KAJANG, 16 JAN: Selangor menyasar kutipan premium sekurang-kurangnya RM150 juta melalui pemutihan kilang tidak berdaftar di negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata sasaran tersebut bergantung kepada pendaftaran lebih 80 peratus daripada 6,690 kilang haram yang beroperasi di Selangor.
Menurutnya, pentadbiran negeri mencari penyelesaian menang-menang bagi membantu pemilik kilang beroperasi secara sah, sambil memastikan pematuhan kepada undang-undang tempatan.
[caption id="attachment_682296" align="aligncenter" width="773"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berucap ketika program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) Di Selangor Tahun 2025-2027 di Dewan Seri Cempaka MPKj, Kajang pada 16 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita mahu pengendali kilang ini tampil dan berbincang dengan kita kerana ramai beroperasi selama beberapa dekad tanpa lesen sah, justeru kita ingin bantu dapat permit yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai dialog awam Program Pematuhan dan Penguatkuasaan Kilang Tidak Sah di Selangor 2025-2027 (Zon Selatan) di sini, hari ini.
Suee Lim berkata Selangor memperkenal beberapa insentif untuk menggalakkan pengendali kilang membuat pemutihan, termasuk potongan 30 peratus bagi premium penukaran guna tanah.
Insentif lain, katanya, bayaran premium tanah nominal, permit tanah khas, lesen sementara dan pematuhan keperluan teknikal minimum untuk permohonan kepada pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan langkah penguatkuasaan lebih ketat akan dilaksanakan tahun ini kepada kilang haram atas tanah kerajaan, termasuk rampasan tanah.
“Kebiasaannya, apabila kita keluarkan notis, pemilik misteri yang tidak pernah berhubung dengan negeri akan muncul. Jadi, saya merayu pengendali untuk datang dan berbincang,” katanya.
Selangor dijangka mengeluarkan 97 Notis 7A bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara bulan ini atas pelanggaran syarat oleh pemilik tanah.
[caption id="attachment_682295" align="aligncenter" width="709"] Sesi dialog awam yang berlangsung program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) Di Selangor Tahun 2025-2027 di Dewan Seri Cempaka MPKj, Kajang pada 16 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Jika mengendahkannya, proses penguatkuasaan melibatkan pengeluaran Notis 7B bawah Seksyen 129, dan seterusnya Notis 8A bawah Seksyen 130, bermula 1 Januari 2026.
Notis 7B merujuk kepada tindakan penguatkuasaan perampasan bagi pelanggaran syarat, manakala Notis 8A, apabila diwartakan, akan mengakibatkan perampasan berkuat kuasa.
Ketika ini, hanya 30 peratus daripada 6,690 kilang haram di Selangor sudah mendaftar.
Proses pengesahan, bermula pada 1 September 2024 akan diteruskan sehingga 31 Disember 2027 sebagai sebahagian daripada strategi negeri untuk mendaftarkan kilang haram.