SHAH ALAM 26 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan lebat melanda Kuala Lumpur serta tiga daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat hingga 6 petang.
Amaran sama dikeluarkan melibatkan beberapa daerah di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.
