ad

Terjebak kes jenayah bukan 'tiket' dedah wajah kanak-kanak

29 Sep 2025, 3:00 AM
Terjebak kes jenayah bukan 'tiket' dedah wajah kanak-kanak
Terjebak kes jenayah bukan 'tiket' dedah wajah kanak-kanak
Terjebak kes jenayah bukan 'tiket' dedah wajah kanak-kanak
Terjebak kes jenayah bukan 'tiket' dedah wajah kanak-kanak
Terjebak kes jenayah bukan 'tiket' dedah wajah kanak-kanak

Kanak-kanak di Malaysia yang menjadi mangsa ketidakadilan ataupun terjebak kes jenayah tetap dilindungi undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Seksyen 15 misalnya, jelas melarang penerbitan gambar atau maklumat yang boleh mengenal pasti mangsa, namun masyarakat khususnya warga maya kurang kesedaran mengenai sensitiviti tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Roziah Osman menegaskan media terutamanya dilarang mendedahkan wajah kanak-kanak bagi melindungi maruah dan privasi mereka.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Roziah Osman ketika program Bicara Semasa bertajuk 'Undang-undang dan Hak Kanak-kanak' pada 24 September 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

"Akta ini secara jelas telah menyatakan tiada gambar tiada maklumat yang boleh membuatkan seseorang kanak kanak itu dikenal pasti untuk boleh disiarkan di dalam mana-mana media, surat khabar atau platform media sosial.

"Dalam kes tertentu, walaupun wajah mangsa telah dikaburkan tetapi masih ada maklumat maklumat yang boleh dikenal pasti yang orang akan cari sehingga dapat.

"Dalam kes kanak-kanak yang menyamar sebagai doktor tahun lalu, contohnya, gambar yang disiarkan dalam keadaan dia yang agak menyedihkan, dalam keadaan muka dia yang tertutup dan dipegang oleh polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Bicara Semasa bertajuk 'Undang-undang dan Hak Kanak-kanak' terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan pihak yang melanggar akta tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM10,000, penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kurang kesedaran

Roziah juga mengakui kebanyakan warga maya (netizen) menyiarkan maklumat kanak-kanak terlibat kes jenayah atas dasar simpati, tetapi mereka mungkin tidak sedar ia menyalahi undang-undang.

"Kita lihat sekarang ini netizen sendiri masih tidak faham mengenai akta itu dan kita kena beritahu di bawah akta, semua kanak-kanak dilindungi tidak kira mereka itu masih dalam siasatan atau dijatuhi hukuman," katanya merujuk kes Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun jelas beliau terdapat pengecualian dalam situasi mencari waris atau kanak-kanak hilang termasuk kes Zayn Rayyan Abdul Matin yang mana media dibenar menyiarkan gambar mangsa.

Paksa anak pakai cosplay

Tambah Roziah, penderaan bukan hanya berkisar tentang kecederaan fizikal, emosi mahupun secara seksual, memaksa kanak-kanak mengenakan seragam cosplay juga dikira penganiayaan terhadap golongan itu.

"Kalau kita lihat sekarang sedang viral kanak-kanak yang memakai cosplay seperti di pasar malam, kadang-kadang kita ingat dalam tu orang dewasa tetapi apabila pelindung JKM turun tengok rupanya kanak-kanak.

"Itu dikira pengabaian yang mana dia mengeksploitasi anak dia dengan membenarkan kanak-kanak berada di jalanan, sama ada mengutip derma, mengemis ataupun menjaja yang menyalahi undang undang," katanya.

Tambahnya, Seksyen 17 memperuntukkan bahawa kanak-kanak tidak boleh terlibat dengan aktiviti seperti meminta derma, menjaja dan bekerja terutama pada waktu persekolahan.

Jenis penderaan, pengabaian

JKM turut bertanggungjawab melindungi dan memelihara kanak-kanak dengan menumpu kepada empat hak utama - kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan.

Kata Roziah, terdapat beberapa jenis penderaan, pengabaian atau penganiayaan terhadap kanak-kanak yang membolehkan JKM ataupun pelindung mengambil kanak kanak itu.

"Pertama penderaan fizikal yang kita boleh nampak dengan mata kasar, kedua penderaan emosi yang kita boleh nampak daripada segi kecelaruan mentalnya, emosinya tetapi yang ini masih memerlukan pengesahan daripada pakar.

"Ketiga penderaan seksual, sama ada secara sentuhan ataupun berlakunya amang seksual. Selepas dibawa ke hospital dan ditentu sahkan oleh pegawai perubatan.

"Seterusnya pengabaian yang kita lihat ibu bapa atau penjaga tidak mampu memberi atau tidak menyediakan keperluan asas kepada kanak-kanak, contohnya pakaian, makanan dan tempat tinggal," jelasnya.

Tambah Roziah, dalam kes-kes sebegini, JKM boleh mengambil kanak-kanak ke dalam jagaan sementara dengan pemantauan.

Namun, katanya, JKM juga akan membantu daripada segi kewangan keluarga supaya kanak kanak terbabit tidak berpisah dengan keluarga.

Beliau juga mengingatkan masyarakat menghubungi Talian Kasih 15999 atau mana-mana pejabat kebajikan masyarakat daerah jika mereka mengesyaki berlaku pengabaian ataupun penganiayaan terhadap kanak-kanak.

Remaja yang disyaki anak pengikut GISBH duduk di dalam dorm mereka ketika serbuan pihak polis September 2024. Foto PDRM

JKM santuni anak GISBH

JKM juga memainkan peranan melindungi anak-kanak pengikut Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang diselamatkan pada September tahun lalu.

Menurut Roziah, JKM memberi peluang golongan terbabit menikmati kehidupan normal sepertimana kanak-kanak lain dengan menyediakan keperluan asas termasuk perubatan dan kaunseling.

"JKM Selangor ketika itu menggerakkan kira-kira 100 pegawai dalam operasi menyelamat lebih 400 kanak-kanak di bawah pengurusan GISBH mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan dalam mengendali kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

"Selepas selesai pemeriksaan perubatan, mereka dibawa ke tempat selamat yang mana kita menyediakan keperluan keperluan asas kepada mereka, termasuk kita menyediakan guru dari kementewrian Pendidikan, pakar perubatan dan ahli psikologi serta kaunselor JKM," katanya.

Beliau menambah sepanjang tempoh itu, kanak-kanak bersekolah seperti biasa dalam kawasan perlindungan, selain mengikuti kelas agama bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada waktu petang hingga malam.

"Pada hujung minggu, mereka diberi ruang untuk beraktiviti yang mana kaunselor atau pelindung JKM akan bersama-sama 'sit down', kita adakan aktiviti supaya seminggu mereka berada di tempat selamat itu penuh aktiviti.

"Mereka menyertai aktiviti mengaji, solat berjemaah dan pelindung bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan mereka juga," jelasnya.

Polis merampas pelbagai jenis buku dan dokumen berkaitan GISBH yang ditanam di tepi pinggir sungai, selain ada yang turut dibakar ketika serbuan di Kampung Panji, Kota Bharu pada 21 September 2024. Foto BERNAMA

Adik beradik saling tidak kenal

JKM mengambil masa lebih kurang sebulan mengenal pasti ibu bapa bagi 422 kanak kanak GISBH kerana ada di antara mereka tidak mengingati maklumat keluarga.

"Yang berada dengan kita, kita pun tidak tahu rupanya mereka adik beradik. Kita perlu mengenal pasti, mencari ibu bapa kerana apabila kita bertanya dengan kanak kanak itu pun, mereka tiada nombor telefon," katanya.

Menurut Roziah, selepas pengesahan dibuat, kanak-kanak terbabit dipertemukan dengan ibu bapa masing-masing sebelum laporan dibawa ke mahkamah untuk keputusan sama ada dikembalikan atau tidak.

"Akhirnya semua dikembalikan kepada keluarga dengan pemantauan berkala oleh JKM.

"Kanak-kanak dan keluarga juga dikenakan syarat tambahan termasuk menghadiri program anjuran agensi kerajaan seperti Majlis Agama Islam Selangor," katanya.

Tambah Roziah, JKM turut menganjurkan program advokasi Kasih Kanak-kanak Global selama dua hari minggu lalu, melibatkan hampir 60 peserta berusia 10 hingga 17 tahun.

"Kita akan memperkenalkan kepada mereka apa hak mereka sebagai seorang kanak-kanak, mungkin selama ini mereka tidak tahu.

"Kita akan bagi pengenalan kepada mereka apa yang mereka perlu tahu tentang hak sebagai seorang kanak kanak," ujarnya.