SHAH ALAM, 26 Sept: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shaari menyeru mahasiswa dan anak Selangor yang sedang menuntut ilmu di China agar segera pulang selepas tamat pengajian untuk menabur bakti membangunkan negeri.
Beliau berkata, Selangor kini memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menggerakkan agenda pertumbuhan ekonomi melalui pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan RS-2 yang bakal diumumkan.
“Saya menggesa anak-anak Selangor supaya segera pulang selepas menamatkan pengajian agar dapat menyumbang kepakaran di tanah air. Negeri ini memerlukan bakat berkemahiran untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.
Dato’ Menteri Besar berkata demikian ketika bertemu lebih 100 mahasiswa Malaysia, khususnya anak Selangor, bersama wakil kedutaan, komuniti perniagaan dan rakan strategik yang menetap di China, malam tadi.
Menurut beliau, pertemuan dengan diaspora Malaysia di luar negara sentiasa menjadi agenda penting dalam setiap lawatan rasmi ke luar negara kerana ia memberi makna besar terhadap semangat kebersamaan negara.
“Lumrah dan kebiasaan saya pada setiap lawatan rasmi, saya akan mencuri waktu untuk bertemu rakyat Malaysia, terutamanya anak Selangor. Kehadiran pelajar, pegawai kedutaan serta rakan industri memperkukuh jaringan strategik negeri di rantau ini,” jelasnya.
Dalam sesi perkongsian itu, beliau turut menekankan aspirasi Malaysia menjelang usia 100 tahun pada 2057 dan peranan Selangor sebagai nadi pertumbuhan negara.
Katanya, melalui RS-1 dan RS-2, tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi berimpak tinggi, infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem pelaburan mesra teknologi, serta pengukuhan bakat tempatan.
Amirudin sedang mengadakan lawatan kerja rasmi yang ke China dari 23 hingga 30 September.
Delegasi Selangor turut disertai EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris serta Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.