JOHOR BAHRU, 17 MEI: Pendekatan multikulturalisme yang menjadi asas perjuangan Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu disampaikan secara tegas kepada rakyat susulan prinsip itu kini dijadikan bahan permainan politik pembangkang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cabaran tersebut perlu ditangani dengan baik bagi memastikan rakyat pelbagai kaum terus berasa selamat dan dilindungi.
“Isunya sekarang, sejauh mana kita mampu sampaikan dan kemukakan rasa selamat kepada rakyat pelbagai kaum. Hari ini lawan politik kita kurang senang dengan pendekatan multikulturalisme dan politik pelbagai kaum yang menjadi asas PH.
“Mereka bimbang kerana tahu dengan pendekatan ini, mereka yang menjual nama agama dan bangsa demi keuntungan peribadi tidak akan dapat bertahan. Kita kekal ulang, anak Melayu anak kita, anak India anak kita, anak Cina anak kita,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di sini hari ini.

Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata semua hak dan suara rakyat negara ini perlu dipertahankan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Pendekatan politik melampau dan ekstrem ini memang nampak popular. Sebab itu kita kena bekerja. Kita kena kekal dengan pendirian. Kita ada bukti pentadbiran di negeri yang kita tadbir.
“Kita ada bukti kejayaan mengukuhkan ringgit dan menstabilkan negara. Sekarang turun ke bawah. Siapa pun kita hadapi, PH perlu berdiri tegak, mempertahankan rakyat, menjaga nasib rakyat dan memastikan kita terus menang,” katanya.










