SUKMA 2026: Bekalan makanan cukup walau harga dijangka naik

18 Mei 2026, 8:00 AM
SUKMA 2026: Bekalan makanan cukup walau harga dijangka naik
SUKMA 2026: Bekalan makanan cukup walau harga dijangka naik
SUKMA 2026: Bekalan makanan cukup walau harga dijangka naik

PELABUHAN KLANG, 18 MEI: Kerajaan Selangor yakin bekalan makanan sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 pada Ogos ini mencukupi meskipun harga makanan dijangka meningkat susulan kenaikan kos diesel.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebimbangan utama ketika ini bukan melibatkan bekalan makanan, sebaliknya tekanan kenaikan harga barangan.

“Saya rasa masih lagi mencukupi, kita sedang meneliti, pasukan sedang meneliti. Insya-Allah kita akan pastikan bekalan (makanan) akan mencukupi.

“Isunya bukan bekalan, isunya nanti harga sebab harga-harga makanan akan meningkat dengan peningkatan harga diesel dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah perluasan Terminal Shell Malaysia di Westports di sini hari ini.

Menurut Amirudin, kerajaan turut meneliti langkah bersesuaian bagi mengurangkan tekanan kenaikan harga termasuk melalui pelaksanaan subsidi diesel untuk beberapa kategori kenderaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) bersama Pengerusi Negara Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman (kiri) dan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading dan Shell Timur Sdn Bhd Shairan Huzani Husain melakukan simbolik perasmian pecah tanah perluasan Terminal Shell Malaysia di Westport, Klang pada 18 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Itu pun kita sedang teliti dan Insya-Allah dengan beberapa polisi kerajaan tentang subsidi diesel untuk beberapa kenderaan-kenderaan itu, saya rasa sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan masih mampu menyerap kesan kenaikan harga barangan walaupun krisis di Asia Barat berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

“Buktinya, selepas beberapa bulan, kita masih lagi mampu menyerap ataupun cushion effect daripada peningkatan harga tersebut, cumanya sejauh mana kerajaan harus berbelanja RM5 hingga RM6 bilion sebulan.

“Mungkin kesan perbelanjaan itu boleh digunakan untuk fokus kepada kumpulan rentan yang sebenar dan sebagainya. Itu saya rasa dalam perancangan fiskal yang kerajaan harus teliti,” katanya.

Pada 26 April lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memberi perkenan SUKMA 2026 diteruskan tetapi secara berhemah dan berjimat cermat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan tersebut selepas mendengar taklimat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April lalu.

Sebelum itu, Baginda mencadangkan temasya dwitahunan berkenaan ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya berikutan kos penganjuran yang tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan, manakala PARA SUKMA dari 5 hingga 10 September.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.