ad

Anak muda harap ekspo kreatif diperluas, buka peluang masa depan

26 Sep 2025, 6:00 AM
Anak muda harap ekspo kreatif diperluas, buka peluang masa depan
Anak muda harap ekspo kreatif diperluas, buka peluang masa depan

SHAH ALAM, 25 SEPT: Anak muda menyuarakan keterujaan mereka terhadap Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25), sambil berharap Kerajaan Negeri menganjurkan lebih banyak program seumpamanya agar peluang dan pendedahan dalam bidang seni dapat diperluas.

Pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah, Addin Siddiq Jalaluddin berkata ekspo berkenaan memberi ruang kepada belia untuk mendekati seni serta memahami potensi besar ekonomi kreatif.

Addin Siddiq Jalaluddin

“Ekspo ini bukan sahaja peluang untuk firma besar dan kecil mempromosikan produk seni, malah menanam minat generasi muda terhadap kerjaya seni. Saya harap ia dianjurkan lebih kerap,” katanya ketika ditemui Media Selangor di ekspo berkenaan baru-baru ini.

Bagi pelajar SMK Abdul Jalil, Nur Zamiera Arisya Rusli, ekspo seumpama itu wajar diperluas ke sekolah bagi membina minat dan menghargai kraf tangan dalam kalangan pelajar.

Nur Zamiera Arisya Rusli

"Ekspo ini membuka minda anak muda lebih luas tentang ekonomi kreatif. Jadi saya rasa program seperti ini patut diperluas ke sekolah-sekolah agar dapat menambahkan pengetahuan dan melahirkan minat dalam bidang seni dan kraf tangan," katanya.

Pelajar Kolej Komuniti Kelana Jaya, Aqmar Nur Iman Mohd Fakhrul Azman, pula mencadangkan seni dijadikan subjek penting dalam kurikulum bagi membuka lebih banyak ruang pembelajaran.

Aqmar Nur Iman Mohd Fakhrul Azman

“Jika seni diperluas dalam kurikulum, pelajar bukan sahaja boleh melibatkan diri, malah berpeluang menjadikannya kerjaya masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar Todak Academy, Muhammad Haziq Isyraf Mohd Rizuan menekankan belia perlu diterapkan minat terhadap seni sejak awal.

Muhammad Haziq Isyraf Mohd Rizuan

“Pengalaman ini penting kerana ia mampu membuka peluang pekerjaan dan mengembangkan bakat pada masa depan,” katanya.

SCEE25 yang berlangsung pada 23 dan 24 September di Pusat Konvensyen MBSA menampilkan forum, pameran, persembahan seni serta sesi perniagaan kreatif.

Program anjuran bersama Selangor Youth Community (SAY) itu turut mengetengahkan enam pemangkin utama meliputi pembangunan bakat, akses pasaran, pembiayaan, kesiapsiagaan infrastruktur, pemerkasaan digital serta tatakelola.

Dengan tema ‘Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy’, ekspo tersebut menandakan langkah awal menjadikan Selangor hab kreatif serantau dengan sasaran menyumbang RM20 bilion kepada KDNK menjelang 2035.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.