SHAH ALAM, 26 SEPT: Selangor perlu memperkukuh pendidikan kreatif dan merangka pelan jangka panjang yang tersusun jika mahu muncul sebagai hab ekonomi kreatif negara, kata bekas Pengarah George Town Festival (GTF) Joe Sidek.
Beliau menegaskan ekonomi kreatif negeri tidak boleh bergantung kepada penganjuran acara semata-mata sebaliknya memerlukan usaha berterusan dalam tekad membina bakat melalui institusi dan perancangan yang konsisten.
“Selangor perlu kenal pasti institusi yang sudah ada fakulti berkaitan dan kembangkan. Inilah asas tenaga kerja. Pendidikan adalah pelan induk,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Joe mengulas penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) pada 23 dan 24 September lalu yang menghimpunkan pemain industri untuk membincangkan agenda mengintegrasi budaya, warisan dan kreativiti dalam pertumbuhan ekonomi.

Beliau menambah kejayaan negara seperti Singapura dan Korea Selatan berpunca daripada strategi berterusan, bukan acara sekali-sekala.
“Kalau tidak dibangunkan, ia jadi sia-sia. Contohnya Citrawarna… jutaan ringgit dibelanjakan tetapi hanya tinggal acara. Sepatutnya selepas 20 tahun ia berkembang menjadi industri,” katanya.
Pendidikan asas tenaga kerja kreatif
Joe yang mengetuai GTF dari 2010 hingga 2018 dipuji kerana menjadikannya salah satu festival seni budaya paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Menurutnya, industri kreatif perlu dianggap sebagai sektor yang mampu menjana pendapatan merangkumi filem, reka bentuk, fesyen dan produk artisanal, bukannya bergantung sepenuhnya pada dana kerajaan.
“Bagi saya industri kreatif mudah sahaja. Adakah orang sanggup bayar untuk kreativiti anda? Sama ada filem, lukisan atau produk, jika ia hasilkan nilai dan pendapatan, maka itu industri,” katanya.
Potensi jana RM20 bilion KDNK
Pada ekspo berkenaan, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi memaklumkan sektor seni dan budaya Selangor berpotensi menyumbang RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam 10 tahun menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035.
Ketika ini sumbangan hanya sekitar RM2 bilion, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sepanjang dua hari, perbincangan meliputi usaha menghidupkan kembali Pekan Frinjan, pembangunan hab kreatif di luar Shah Alam dan Petaling Jaya serta kerjasama dengan pemain industri di bandar bersejarah. Tema utama menekankan aspek inklusiviti, kelestarian dan strategi menguasai industri kreatif serantau.
Kerajaan Negeri turut menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan tempatan dan antarabangsa bagi memperkukuh ekosistem kreatif.
PBT jadi sistem sokongan
Joe dalam masa sama menyambut baik inisiatif tersebut namun menekankan pentingnya sokongan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Majlis perbandaran adalah tuan rumah. Mereka mesti jadi sistem sokongan, pencetus dan inkubator. Kerajaan boleh jadi titik mula, kemudian bawa masuk rakan strategik,” katanya.
Tambah beliau, Selangor juga wajar menimba pengalaman dari Indonesia, Singapura dan Thailand.
Joe turut mengingatkan supaya tidak menyamakan pelancongan dengan budaya.
“Tiada siapa boleh tiru sejarah anda. Itu kekuatan unik. Jangan ikut orang lain, bangunkan apa yang eksklusif milik Selangor,” ujarnya.