PETALING JAYA, 26 SEPT: Lebih RM16 juta diperuntuk bagi melaksanakan projek mitigasi banjir di Kampung Chempaka dan Kampung Sungai Ara.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata projek melebarkan Sungai Kayu Ara yang dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini memasuki fasa kedua sepanjang 1.3 kilometer dan dijangka siap Jun tahun depan.
“Laporan daripada JPS bagi mengetahui punca kejadian banjir dan mendapati taburan hujan berlebihan sehingga 103milimeter (mm) selama dua jam.
“Kita panggil juga penduduk supaya mengetahui perkembangan terkini projek dilaksana,” katanya hari ini.
Selain sesi taklimat, Jamaliah turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada 27 mangsa banjir di Kampung Chempaka dan Kampung Sungai Ara, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pusat khidmat masyarakat DUN Bandar Utama.
Sementara itu, jurutera JPS Petaling, Maimunah Abu Hassan Ashaari menjelaskan taburan hujan melebihi 60 mm boleh menyebabkan banjir setinggi 0.45 meter di kawasan terbabit.
“Selain faktor hujan, pembangunan sekitar turut menyumbang kepada banjir. Fasa pertama projek siap pada November lalu manakala fasa kedua melibatkan pembinaan tembok penahan setinggi dua meter, pintu pam dan laluan jalan.
“Apabila selesai kita bercadang tambah baik dengan memasang kamera litar tertutup dan siren, persiapan sekiranya air naik,” ujarnya.
Timbalan Pengarah (Pembangunan Masyarakat) MBPJ Ku Mustafa Ku Mohamad pula berkata pihaknya sentiasa mengambil kira perubahan cuaca pada masa kini sehingga mengakibatkan berlakunya banjir.
“Jabatan kejuruteraan MBPJ berusaha memastikan banjir kilat dapat dielak atau tidak memberi impak besar.
“MBPJ berharap sumbangan dapat meringankan beban penduduk yang berdepan dengan masalah banjir,” ujarnya.