ad

Sultan, Tengku Permaisuri, Raja Muda berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat sempena Perkahwinan Diraja

25 Sep 2025, 1:35 PM
Sultan, Tengku Permaisuri, Raja Muda berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat sempena Perkahwinan Diraja

SHAH ALAM, 25 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, DYMM Tengku Permaisuri Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat sempena Perkahwinan Diraja Tengku Amir Shah bersama pasangan Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, DYMM Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Tengku Amir Shah tiba di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini sekitar jam 7 malam hari ini.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat bagi kelancaran isiadat perkahwinan Tengku Amir Shah bersama pasangannya Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mengiringi keberangkatan tiba Baginda adalah EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Menurut Seksyen Komunikasi Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), majlis doa selamat sempena Perkahwinan Diraja itu diadakan secara serentak di semua masjid serta lebih 1,000 surau kebenaran solat Jumaat di seluruh negeri ini malam ini.

Orang ramai yang hadir pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat bagi kelancaran isiadat perkahwinan Tengku Amir Shah bersama pasangannya Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Majlis Doa Selamat diadakan serentak di semua masjid, surau kebenaran solat Jumaat dan musolla kebenaran solat Jumaat di Selangor. Bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bacaan Yasin dan doa selamat diketuai Mufti Selangor Dato' Seri Utama Diraja Dato' Dr Anhar Opir.

“Selepas doa selamat, Baginda Sultan, Tengku Permaisuri dan Raja Muda Selangor turut berkenan menunaikan solat Isyak bersama rakyat sebelum diakhiri dengan Majlis Santapan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, di sini,” katanya kepada media di majlis berkenaan hari ini.

Tengku Amir Shah bakal melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz pada 2 Oktober ini.

lstiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid lstana Diraja, lstana Alam Shah di Klang.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersalaman bersama orang ramai pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat bagi kelancaran isiadat perkahwinan Tengku Amir Shah bersama pasangannya Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.