SHAH ALAM, 2 OKT: Istiadat Pernikahan Diraja Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menjadi platform rakyat Selangor berkumpul dan meraikan kebersamaan dalam suasana yang meriah.
Rossihan Angah, 25, daripada komuniti Orang Asli Temiar berkata beliau tidak menyangka ribuan yang ke perarakan itu dihadiri pelbagai kaum dan agama.

"Kami datang ke sini dengan menaiki bas khusus untuk menyaksikan perarakan ini dan pengalaman dapat melihat sendiri pengantin diraja adalah satu peluang keemasan.
"Kami sangat gembira, teruja bila dapat lihat Raja Muda Selangor depan mata. Ini merupakan peluang keemasan bagi kami untuk meraikan istiadat perkahwinan bersama dengan bangsa lain," katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani berkata pengalaman menyaksikan perarakan secara langsung memberi makna berbeza berbanding hanya menontonnya di televisyen.

"Saya bersyukur diberi kesempatan ini. Jelas kelihatan sokongan rakyat, kebersamaan masyarakat dan doa yang ikhlas agar perkahwinan ini kekal hingga ke jannah," ujarnya.
Keterujaan sama dikongsi suri rumah Hawa Esa, 30, apabila beliau yang hadir bersama tujuh adik beradik selepas berjanji dua hari sebelumnya untuk meraikan pasangan Diraja.
"Harini saya datang dengan kakak-kakak saya. Kami gerak seawal jam 7 pagi untuk tidak melepaskan peluang melihat perarakan Diraja," katanya yang menetap di Sungai Pinang, Klang.
Bagi wakil Persatuan Rumah Sahabat, Adli Zaim, yang pernah menjalin kerjasama dengan Tengku Amir Shah dalam program belia. Beliau menyifatkan perarakan ini sebagai pengalaman yang sangat berharga.

"Ini kali pertama saya melihat adat istiadat Diraja dan kami hadir ke sini untuk sama sama meraikan hari bahagia Raja Muda Selangor dan merupakan satu pengalaman berharga yang tidak ternilai," katanya.
Bagi pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), A.Navin, 28, beliau bersama kira-kira 80 orang rakan setugas bertolak seawal 4 pagi demi menghadiri perarakan tersebut.
"Ini pengalaman baru untuk saya, teruja dapat lihat perarakan perkahwinan kerana peluang sebegini susah nak dapat secara dekat. Suasananya cukup berbeza berbanding dengan perkahwinan orang biasa," jelasnya.
