SHAH ALAM, 25 SEPT: Lawatan perdagangan Kerajaan Negeri ke China dilihat memberi potensi besar kepada Selangor untuk meneroka peluang pelaburan baharu, khususnya dalam sektor berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata beberapa syarikat di China menunjukkan minat untuk melabur di Selangor sekali gus memanfaatkan lokasi negeri sebagai pintu masuk Asean.
“Kita harap lawatan ini memberi gambaran yang jelas kepada mereka untuk melihat potensi Selangor sebagai pintu masuk perdagangan di rantau Asia Tenggara.
“Dalam pertemuan itu, kita dapat lihat mereka amat berminat untuk datang ke Selangor atas sebab-sebab antaranya kita adalah negeri mesra pelabur, selain kemudahan infrastruktur yang terbaik,” katanya menerusi rakaman bersama Media Selangor.

Beliau ditemui ketika menyertai misi perdagangan dan pelaburan rasmi Kerajaan Negeri ke China, dari 23 hingga 30 September yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Saipolyazan berkata MBI juga mahu menggunakan peluang kunjungan ke China untuk meneroka potensi baharu pelaburan kepada semua anak-anak syarikatnya.
Selain pelaburan baharu, katanya, MBI berhasrat melatih bakat-bakat baharu terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama strategik.
“MBI sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri, kita mahu menggunakan peluang ini untuk melihat potensi MBI dan anak-anak syarikat agar dapat terlibat dalam bidang tertentu yang memberi pulangan kepada Selangor,” katanya.