SHAH ALAM, 25 SEPT: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menerima maklum balas daripada beberapa syarikat di China yang menyatakan komitmen untuk melabur di Selangor, susulan lawatan perdagangan Kerajaan Negeri ke negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azahari Idris berkata sebahagian daripada pelabur terbabit kini di peringkat rundingan akhir bagi penentuan lokasi, melibatkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta automotif.
“Kita bertemu beberapa syarikat yang telah menyatakan komitmen tinggi dan kita melihat mereka berpotensi untuk membuat pelaburan di Selangor.
“Setelah pertemuan dengan beberapa syarikat ini, kita yakin sebahagian daripada mereka akan membuat keputusan (pelaburan di Selangor) dalam masa beberapa bulan akan datang,” katanya menerusi rakaman bersama Media Selangor.
Beliau ditemui ketika menyertai misi perdagangan dan pelaburan rasmi Kerajaan Negeri ke China, dari 23 hingga 30 September yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Hasan berkata, Invest Selangor menjangkakan menerima pelaburan berimpak tinggi, termasuk daripada sektor yang belum ada di Malaysia seperti teknologi bateri, aeroangkasa dan sebagainya.
Malah katanya, Invest Selangor turut memberi jaminan untuk menyediakan kemudahan dan khidmat sokongan pelaburan terbaik kepada pelabur berpotensi, khususnya dari China.
“Kita akan teruskan dengan tindakan susulan untuk membantu mereka, seperti yang kita lakukan kepada pelabur lain. Kita harus beri perkhidmatan terbaik supaya perjalanan mereka dipermudahkan untuk melabur di Selangor,” katanya.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Selangor Investors Soft Landing Incentive Programme bagi membantu pelabur asing dan domestik berpotensi memilih lokasi yang sesuai di negeri ini.
Program insentif oleh Invest Selangor itu bertujuan menyediakan platform dan sokongan yang menyeluruh kepada pelabur baharu semasa mereka meninjau ekosistem perniagaan Selangor.