SHAH ALAM, 25 SEPT: Orang ramai kini boleh membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan Kementerian Kewangan jam 9 pagi ini.
Menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my, pengguna boleh menyemak profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi bulanan tanpa perlu pendaftaran baharu, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam alat pembaca di pam minyak untuk pengesahan sebelum membuat bayaran,” katanya.
Subsidi disasarkan kepada rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif, had kelayakan subsidi 300 liter sebulan pada harga kekal RM1.99 seliter, manakala lebihan penggunaan dikenakan harga pasaran semasa sekitar RM2.60 seliter.
Selain itu, pemandu e-hailing boleh memohon tambahan kuota melalui portal sama.
Untuk pertanyaan lanjut, talian bantuan BUDI95 boleh dihubungi di 1300-88-9595 bermula hari ini.