ad

Lesen mati lebih tiga tahun tidak layak terima subsidi RON95

24 Sep 2025, 7:19 AM
Lesen mati lebih tiga tahun tidak layak terima subsidi RON95

SHAH ALAM, 24 SEPT: Individu tempatan yang gagal memperbaharui lesen memandu melebihi tiga tahun tidak layak menerima subsidi petrol RON95 secara automatik di bawah program BUDI MADANI RON95.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seramai 925,421 pemegang lesen masih belum memperbaharui dokumen tersebut, manakala 154,641 daripadanya hampir mencapai tempoh tiga tahun, lapor Berita Harian.

“Saya nasihatkan lebih 925,000 individu supaya segera memperbaharui lesen, khususnya 154,000 yang hampir mencecah tiga tahun kerana mereka tidak lagi layak menikmati subsidi RON95 automatik,” katanya.

Menurut beliau, sejak pengumuman syarat BUDI95 pada 22 September lalu, JPJ merekodkan 26,991 transaksi pembaharuan CDL melalui aplikasi MyJPJ, MySikap, kios dan kaunter.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter bermula 30 September ini untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan.

Semua warganegara yang mempunyai lesen memandu yang sah layak mendapat subsidi RON95 melibatkan lebih 16 juta orang.

Kelayakan boleh disemak mulai Khamis ini secara dalam talian menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my di Pusat Khidmat Pelanggan BUDI95 atau melalui aplikasi Setel dan CaltexGO selepas proses verifikasi identiti selesai.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.