ad

Malaysia mampu eksport budaya bernilai tinggi

23 Sep 2025, 9:40 AM
Malaysia mampu eksport budaya bernilai tinggi
Malaysia mampu eksport budaya bernilai tinggi
Malaysia mampu eksport budaya bernilai tinggi

SHAH ALAM, 23 SEPT: Sektor ekonomi kreatif negara perlu mencontohi kejayaan Korea Selatan yang menjadikan budaya mereka sebagai produk eksport bernilai tinggi.

EXCO Keusahawanan, Najwan Halimi berkata Malaysia sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan seni turut berpotensi sama, sekali gus mampu menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi.

“Kita harus lihat budaya K-Pop yang kini menular ke seluruh dunia. Sebelum ini, zaman ibu bapa kita ada drama Winter Sonata. Inilah kekuatan ekonomi kreatif, kita boleh eksport budaya kita.

“Kita perlu ada strategi untuk menjadikannya kekuatan, bukan sekadar menghasilkan keuntungan. Ia juga boleh menjadi ‘soft power’. Ini sebenarnya matlamat akhir kita, bukan sekadar berlegar dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan dalam sesi libat urus sempena Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.

Majlis yang disertai lebih 100 pemain industri kreatif itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Dalam pada itu, Najwan berkata pembangunan sektor ekonomi kreatif di Selangor turut melibatkan wilayah luar bandar dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

Jelasnya, Selangor perlu terus memperkukuh usaha memartabatkan seni kebudayaan bagi memastikan warisan negeri terus diangkat dan dijadikan produk kebanggaan rakyat.

“Tahun ini sempena Tahun Melawat Selangor, kita ketengahkan banyak produk kebudayaan kita. Lihat di Sarawak, mereka sehabis mungkin menggunakan kekuatan kebudayaan mereka. Ini sesuatu yang sangat baik,” katanya.

SCEE25 anjuran bersama Selangor Youth Community (SAY) diadakan selama dua hari sehingga esok bagi mengumpulkan pemain industri sekali gus menandakan permulaan era baharu pertumbuhan ekonomi kreatif di Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.