ad

Ekonomi kreatif bakal jadi pemacu baharu pertumbuhan Selangor

23 Sep 2025, 8:24 AM
Ekonomi kreatif bakal jadi pemacu baharu pertumbuhan Selangor
Ekonomi kreatif bakal jadi pemacu baharu pertumbuhan Selangor
Ekonomi kreatif bakal jadi pemacu baharu pertumbuhan Selangor

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kedudukan Selangor sebagai pintu masuk Asia selain merupakan gedung ekonomi negara mendorong pentadbiran ini meneroka industri kreatif dengan lebih meluas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu turut membuka banyak peluang pekerjaan serta berupaya mencungkil lebih banyak bakat kreatif dalam kalangan anak Selangor seterusnya diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, penumpuan kepada sektor ini juga membuka peluang Selangor mengukuhkan identiti dengan nilai seni budaya dan negeri tidak hanya terkenal sebagai kuasa ekonomi semata.

“Ke hadapan, kita harus meluaskan skup kepada ekonomi kreatif supaya anak Selangor dapat menjadi duta kreatif di rantau Asia. Ada pelbagai bidang boleh diteroka seperti e-sukan, muzik, fesyen, warisan budaya, animasi, seni persembahan, kontemporari dan filem.

“Kesemua ini dapat menghasilkan peluang pekerjaan dengan mencukil bakat dan kreativiti mereka. Jika direalisasikan, ia akan beri impak positif kepada industri lain seperti pelancongan, pendidikan dan pembuatan.

“Saya yakin jika dibuat pantas, pelaburan sektor ini dapat mencapai nilai RM1 bilion menjelang 2030. Ini akan buka pintu kepada ekonomi antarabangsa,” katanya secara dalam talian ketika merasmikan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di sini hari ini.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyempurnakan gimik pelancaran SCEE25 yang berlangsung hari ini hingga esok di Pusat Konvensyen MBSA.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata penganjuran SCEE25 dengan tema ‘Re:Imagine Selangor-Creativity is the New Economy’ merupakan langkah awal pihaknya merealisasikan matlamat berkenaan.

Katanya menerusi pengisian beberapa acara antara CRE8Biz Xchange, CRE8Fund dan CRE8Stage, ia mampu menyokong usaha negeri untuk menarik pelabur serta membina ekosistem jaringan perniagaan.

“CRE8Fund akan menyediakan dana awal sebanyak RM100,000 untuk menyokong projek yang mempunyai potensi tinggi manakala CRE8Stage akan menggilap bakar dan ekspresi kreatif melalui sesi pitching dan festival.

“Inilah ekosistem menyeluruh yang akan dibangunkan. Daripada bakat kepada pasaran, daripada idea kepada pelaburan, daripada seni kepada ekonomi dan pembuatan kualiti,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.