SHAH ALAM, 23 SEPT: Sektor ekonomi kreatif negeri berpotensi menyumbang RM20 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Strategi Ekonomi Kreatif Selangor dalam tempoh 10 tahun akan datang.
EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata ketika ini Selangor hanya menyumbang RM2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini.
"Sektor ekonomi kreatif negara menyumbang RM22 bilion kepada KDNK, dan daripada jumlah itu RM2 bilion datang daripada pemain industri di Selangor. Mungkin angka ini tidak terlalu besar, namun sekurang-kurangnya kita ada menyumbang.
“Pelan Tindakan Strategi Ekonomi Kreatif Selangor ini kita akan lancarkan November depan, dan ia membabitkan perancangan sehingga 10 tahun. Dalam tempoh itu, kita jangka boleh jana sehingga RM20 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan dalam sesi libat urus sempena Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen MBSA, di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Dalam pada itu, Najwan berkata Pelan Tindakan Strategi Ekonomi Kreatif Selangor dirangka bagi melengkapkan ekosistem sektor ekonomi kreatif negara menerusi dasar yang pernah diperkenalkan kementerian pada 2009.
Menurutnya, pelan tindakan negeri tidak hanya tertakluk kepada proses pendanaan tetapi ia turut membina dan memandu hala tuju industri kreatif secara menyeluruh serta jangka panjang.
“Untuk makluman, di peringkat kebangsaan kita sudah ada dasar ekonomi kreatif yang digubal 15 tahun lalu, di bawah kementerian yang diketuai Tan Sri Rais Yatim pada ketika itu.
“Tetapi mungkin kerana tiada perancangan susulan, jadi ia dilihat tergendala. Di Selangor kita sudah bercakap mengenai ekonomi kreatif sejak dua tahun lepas. Kita akan letak satu hala tuju dan memimpin,” katanya.
SCEE25 anjuran bersama Selangor Youth Community (SAY) diadakan selama dua hari sehingga esok bagi mengumpulkan semua pemain ekonomi sekali gus menandakan permulaan era baharu pertumbuhan industri kreatif di Selangor.
