SHANGHAI, 22 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik (EV) apabila komited menjadikan negeri ini sebagai hab utama mobiliti elektrik serantau.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, komitmen itu diterjemah melalui lawatan rasmi ke Shanghai Electric Drive Co., Ltd. (Shanghai Edrive) hari ini, bersama delegasi kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri komited menjadikan Selangor sebagai hab utama mobiliti elektrik serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.
Lawatan itu turut disertai wakil MARii, MIDA Shanghai dan syarikat tempatan Sapura Industrial Berhad, dalam usaha memperkukuh jaringan pelaburan berimpak tinggi.
Shanghai Edrive ialah syarikat peneraju dalam teknologi motor, inverter dan sistem kuasa elektrik (eDrive), terkenal dengan pembangunan powertrain berprestasi tinggi, efisien serta prestasi unggul dari aspek bunyi, getaran dan kekasaran (NVH).
Delegasi berpeluang meninjau barisan pembuatan Shanghai Edrive termasuk pusat pameran, pusat ujian, pemasangan inverter dan powertrain serta penghasilan rotor, stator dan hair pin.
“Pertemuan ini membolehkan Selangor memahami secara langsung teknologi eDrive sebagai sebahagian daripada rantaian hiliran nadir bumi, selaras usaha memperkukuh ekosistem EV negeri,” kata Amirudin.
Beliau turut menegaskan kelebihan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik di Asia Tenggara dengan infrastruktur bertaraf dunia, bakat tempatan dan dasar mesra pelabur.
Lawatan itu merupakan sebahagian misi perdagangan dan pelaburan Selangor ke China bagi memperluas kerjasama strategik dalam sektor teknologi tinggi.
Awal hari ini, delegasi turut melawat StarPower Semiconductor Ltd, yang memaklumkan sedang menilai tapak operasi di Malaysia dengan pelaburan sehingga RM200 juta. Selangor diyakini mempunyai kelebihan strategik untuk menarik syarikat global teknologi modul kuasa itu.
Amirudin kini sedang dalam rangka lawatan kerja sembilan hari ke China, disertai EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han; Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop; Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Haji Idris; dan Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping.