JIAXING, 22 SEPT: StarPower Semiconductor Ltd. sedang menilai lokasi di Malaysia termasuk Selangor sebagai destinasi pelaburan fasa pertama bernilai RM200 juta bagi membuka operasi pengeluaran modul kuasa berteknologi tinggi.
Syarikat berpangkalan di Jiaxing, Zhejiang itu memaklumkan hasrat tersebut semasa menerima kunjungan Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari yang memulakan lawatan kerja rasmi ke China hari ini.
StarPower merupakan peneraju global dalam teknologi modul kuasa dan mengkhusus dalam reka bentuk serta pembuatan komponen seperti IGBT, SiC, MOSFET, IPM dan FRD. Syarikat itu turut menyediakan penyelesaian kuasa tersuai kepada pelbagai sektor utama.
Pelaburan fasa pertama sebanyak RM200 juta itu akan memfokuskan kepada pengeluaran modul IGBT dan SiC MOSFET, komponen penting dalam industri semikonduktor dan tenaga boleh baharu.
Selangor diyakini memiliki semua kelebihan strategik untuk menarik pelaburan StarPower, termasuk kedudukan berhampiran pelabuhan utama negara serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mempercepatkan urusan logistik.
Selain itu, Kerajaan Negeri bakal melancarkan dasar baharu dikenali sebagai Speed Selangor pada Oktober ini yang akan mempercepatkan proses kelulusan pelaburan serta mempermudah urusan pelabur luar.
Dalam masa sama, pembangunan bakat turut menjadi keutamaan Selangor menerusi inisiatif Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) di bawah kelolaan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec).
Antara program utama ASEM ialah National Semiconductor Excellence Programme (NSEP) yang menawarkan latihan reka bentuk litar hadapan dan belakang serta Global Semiconductor Exchange Programme (GSEP) bagi pendedahan antarabangsa di Shenzhen.
Gabungan ekosistem industri matang, tenaga kerja berkemahiran dan infrastruktur bertaraf dunia menjadikan Selangor lokasi ideal untuk pelabur semikonduktor seperti StarPower memulakan operasi di Malaysia.
Amirudin sedang mengadakan lawatan kerja rasmi ke China selama sembilan hari bermula hari ini. Delegasi turut disertai antaranya EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han; Ketua Pengarah Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop; Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Haji Idris; serta Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping.