KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Sebanyak 75 individu ditahan dalam Ops Jejak 2 selepas didapati memasuki kawasan larangan iaitu Hutan Simpan Ayer Itam, Puchong, di sini tanpa permit sah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata mereka ditahan kira-kira 11 pagi oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dengan kerjasama Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Balai Polis Puchong Jaya.
Beliau berkata kesemua individu berkenaan difahamkan memasuki hutan simpanan kekal itu melalui Bukit Wawasan, Puchong tanpa permit sah di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1985 kerana memasuki hutan simpanan kekal tanpa kebenaran.
Muhamad Farid mengingatkan orang awam supaya tidak memasuki hutan simpan itu tenpa permit sah kerana kawasan berkenaan disimpan bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan Bahagian Perhutanan UPM.
Beliau berkata kawasan di hutan simpan itu yang dibuka kepada orang awam hanyalah Trek Hutan 1.
“Trek berkenaan bermula dan berakhir di Kaki Bukit Wawasan sepanjang 2.8 kilometer sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-32/2012,” katanya.