Keluasan hutan simpan kekal Selangor meningkat 858 hektar dalam 10 tahun

13 Ogos 2026, 11:00 AM
Keluasan hutan simpan kekal Selangor meningkat 858 hektar dalam 10 tahun
Keluasan hutan simpan kekal Selangor meningkat 858 hektar dalam 10 tahun
Keluasan hutan simpan kekal Selangor meningkat 858 hektar dalam 10 tahun

SHAH ALAM, 13 OGOS: Keluasan hutan simpan kekal (HSK) di Selangor meningkat 858.29 hektar dalam tempoh 10 tahun, dengan keseluruhan kawasan itu kini berjumlah 250,987.12 hektar atau 31.7 peratus daripada keluasan negeri.

EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, keluasan HSK meningkat daripada 250,128.83 hektar pada 2016 kepada jumlah berkenaan pada hujung tahun lalu.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

“Pada 2016, keluasan HSK adalah 250,128.83 hektar dan terdapat peningkatan seluas 858.29 hektar dalam tempoh 10 tahun. Selain itu, sejak 2020 hingga tahun lalu, seluas 299.11 hektar kawasan telah diganti sebagai HSK.

“Pada masa sama, tiada kawasan gantian HSK yang masih belum diganti kerana proses pewartaan keluar dan masuk hendaklah berjalan serentak,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Perkembangan itu selari dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 31 peratus daripada keluasan tanah Selangor sebagai hutan simpan menjelang 2030.

Ketika membentangkan usul RS-2 pada Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran berkenaan merupakan antara agenda dalam Misi Kelima RS-2 bagi melindungi ekosistem semula jadi, menyokong biodiversiti dan mengukuhkan pertahanan semula jadi negeri terhadap risiko perubahan iklim.

Sementara itu, Jamaliah berkata empat kes kebakaran hutan direkodkan di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan sepanjang Januari hingga April lalu.

“Dari Mei hingga kini, tiada insiden baharu direkodkan. Begitu juga di Hutan Simpan Kuala Langat Utara, tiada kes dicatatkan,” katanya.

Pada Februari lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menolak kemungkinan aktiviti penerokaan berlaku di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat, yang berpotensi menyebabkan kebakaran berskala besar.

Ketua Zon 5 (KLIA) JBPM Selangor, Mohamad Issmanto Md Pono berkata punca kebakaran ketika itu masih dalam siasatan dan pemantauan, dengan faktor cuaca panas, kering serta berangin turut dikenal pasti sebagai antara penyumbang.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.