Lindungi khazanah hutan, JPNS bertemu sembilan pengurusan kuil

19 Mac 2026, 1:00 AM
Lindungi khazanah hutan, JPNS bertemu sembilan pengurusan kuil
Lindungi khazanah hutan, JPNS bertemu sembilan pengurusan kuil
Lindungi khazanah hutan, JPNS bertemu sembilan pengurusan kuil

SHAH ALAM, 19 MAC: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengadakan sesi libat urus bersama sembilan pengurusan kuil bagi membincangkan isu penempatan rumah ibadat bukan Islam di kawasan Hutan Simpan Kekal di negeri ini.

Sesi melibatkan kawasan Hutan Selangor Tengah dan Hulu Selangor itu diadakan sebagai langkah proaktif bagi menangani pembinaan struktur tanpa kebenaran dalam kawasan hutan simpan.

Pengarah JPNS, Azhar Ahmad berkata, perbincangan yang turut disertai ketua-ketua jabatan dan agensi berkaitan itu bertujuan mencari penyelesaian secara berhemah serta mematuhi lunas undang-undang.

“Lanjutan daripada kenyataan Perdana Menteri berhubung pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa kebenaran mengikut peraturan serta sokongan penuh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, kita memanggil sembilan pengurus rumah ibadat dalam sesi libat urus ini,” katanya ketika ditemui dalam program Turun Padang terbitan Media Selangor.

Pengarah Perhutanan Negeri Selangor Azhar Ahmad ketika ditemubual di pejabat Media Selangor Sdn Bhs (MSSB), Shah Alam pada 12 Mac 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, sesi yang berlangsung di Dewan Seminar Institut Latihan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Kepong itu berjalan dalam suasana aman tanpa sebarang provokasi.

Menurutnya, pihak jabatan turut meneliti pandangan serta maklumat dikemukakan wakil pengurusan kuil untuk diangkat ke peringkat negeri.

“Setiap pandangan dan maklumat yang disampaikan termasuk dakwaan fakta sejarah kewujudan tempat-tempat ibadat ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, JPNS komited menangani isu penempatan rumah ibadat tanpa kebenaran di kawasan hutan simpan bagi memastikan kelestarian khazanah hutan terus terpelihara.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengesan aktiviti pemujaan apabila dua batang pokok balak diconteng dengan warna tertentu. Foto HALIM ABD RAHMAN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Media Selangor menerusi program Turun Padang turut meninjau beberapa lokasi hutan simpan berkaitan isu berkenaan.

Ketika tinjauan di Hutan Simpan Ulu Gombak, pihak jabatan mengesan aktiviti pemujaan apabila dua pokok balak matang diconteng dengan warna merah, hitam dan putih.

Pada 18 Februari lalu, JPNS turut melaksanakan ‘Ops Risi’ di Hutan Simpan Kapar Tambahan bagi membanteras pencerobohan dan pembinaan struktur tanpa kebenaran.

Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa bagi memastikan tindakan berjalan lancar serta mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

JPNS menegaskan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memelihara kelestarian hutan, mengawal pencerobohan serta memastikan sebarang pembangunan dilaksanakan mengikut undang-undang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.