SUBANG JAYA, 21 SEPT: Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) yang julung kali diadakan bakal mengangkat industri kreatif sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negeri.
EXCO keusahawanan berkata, bertemakan “Reimagine Selangor: Creativity is the New Economy”, ekspo itu menampilkan empat teras utama iaitu CRE8 yang bermaksud dasar, pembiayaan, pentas persembahan dan pembentangan idea serta padanan perniagaan.
"Penganjuran ini bukan sekadar ruang pameran, sebaliknya platform serius yang menghubungkan penggiat seni, usahawan dan pelabur melalui dialog, sesi pembentangan serta pemadanan perniagaan," kata Mohd Najwan Halimi.
Beliau berkata demikian pada sidang media SCEE25 di sini, hari ini.
Mohd Najwan menambah, inisiatif itu juga sebahagian daripada Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2035 yang akan dilancar pada sidang Dewan Negeri pada November depan.
"Ia menjadikan Selangor negeri pertama memberi penekanan khusus terhadap sektor kreatif secara menyeluruh.
"Saya yakin SCEE25 mampu membuka peluang dan potensi baharu serta melahirkan lebih banyak kerjasama strategik, menyediakan ruang kepada usahawan kreatif untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.
"Saya juga optimis sektor kreatif akan menjadi pemacu baharu ekonomi Selangor menjelang 2035," katanya.
Jelas beliau, pembangunan ekosistem kreatif akan digerakkan secara inklusif dan mampan, selain dijadikan salah satu teras dalam Rancangan Selangor ke-2 (RS2) yang akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Katanya, melalui pelan tindakan tersebut, Kerajaan Negeri menyasarkan sumbangan RM20 bilion kepada ekonomi negeri menjelang 2035, sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai penyumbang utama kepada ekonomi kreatif Malaysia.
“Dulu di peringkat persekutuan, memang ada dasar ekonomi kreatif sekitar 2008-2009, tetapi hari ini Selangor mengambil langkah lebih serius untuk menyantuni segmen usahawan kreatif.
"Ia juga selaras dengan RMK-13 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan pembangunan ekonomi jingga,” ujarnya.
SCEE25 akan berlangsung pada 23 dan 24 September ini di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), menghimpunkan lebih 500 pemain industri, pelabur dan agensi kerajaan.