SUBANG JAYA, 21 SEPT: Sejumlah RM80,000 diperuntuk menerusi Dana Mikro Kreatif Selangor sebagai langkah awal menyokong perkembangan industri kreatif.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi, berkata dana berkenaan akan diagihkan melalui proses saringan dan sesi pembentangan idea (pitching), dengan 10 peserta terbaik menerima pembiayaan.
"Permohonan telah ditutup dan kita pernah menguar-uarkan dalam platform media sosial sebelum ini. Sebanyak 200 permohonan telah diterima dan akan disenarai pendek untuk pemilihan akhir.
RM80,000 ini adalah dana awal untuk program tahun ini sahaja. Insya-Allah, tahun depan kita akan umumkan dana lebih besar dalam Belanjawan Selangor 2026 yang dibentang November ini," katanya.
Menurut beliau, pemilihan akan dilakukan pada pelancaran Ekspo Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) yang berlangsung pada 23 dan 24 September ini.
"Pemilihan akan dibuat melalui sesi pembentangan idea dalam kategori penciptaan kandungan digital, animasi, solusi kreatif dan perusahaan sosial kreatif," tambahnya.
Ekspo bertemakan "Reimagine Selangor: Creativity is the New Economy" itu turut mengetengahkan empat teras utama dikenali sebagai CRE8, merangkumi dasar, pembiayaan, pentas persembahan dan pitching, serta padanan perniagaan.
SCEE25 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam dijangka menghimpunkan lebih 500 pemain industri, pelabur dan agensi kerajaan.
Inisiatif ini sebahagian daripada Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2035 yang akan dilancar pada Sidang Dewan Negeri Selangor, November depan, dengan sasaran menjana RM20 bilion sumbangan kepada ekonomi negeri menjelang 2035.