ad

Dana Mikro Kreatif Selangor dibuka, realisasi idea usahawan, pelajar dan komuniti

5 Sep 2025, 2:20 PM
Dana Mikro Kreatif Selangor dibuka, realisasi idea usahawan, pelajar dan komuniti

SHAH ALAM, 5 SEPT: Dana Mikro Kreatif Selangor 2025 dibuka dengan tawaran dana keseluruhan berjumlah RM80,000 bagi merealisasikan idea kreatif usahawan, pelajar dan komuniti kreatif di negeri ini.

Permohonan dibuka sehingga 17 September 2025 sebelum jam 11.59 malam, manakala sesi pitching akan berlangsung pada 24 September 2025 di Pusat Konvensyen MBSA.

Hadiah utama bernilai RM20,000 menanti pemenang, diikuti tempat kedua RM15,000, tempat ketiga RM10,000, manakala setiap pemenang hadiah sagu hati akan membawa pulang RM5,000.

Penyertaan terbuka kepada usahawan kreatif baharu dan sedia ada, pemula kreatif serta kolektif komuniti serta pelajar TVET dalam bidang reka bentuk, animasi, media, budaya dan bidang berkaitan.

Selain itu, penyertaan dibuka kepada syarikat mikro yang sedang berkembang dalam sektor kreatif dan peserta mestilah tidak disenaraihitam oleh mana-mana institusi kewangan atau bukan kewangan.

Tema Dana Mikro Kreatif Selangor 2025 ialah Warisan & Budaya Masa Depan, Penyelesaian Kreatif untuk Komuniti, Media, Teknologi & Kandungan Digital serta Kreativiti dalam Perniagaan & Produk Tempatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.